Akademik: Proses sunting, gerakan feminisme punca buku teks dikritik

Akademik: Proses sunting, gerakan feminisme punca buku teks dikritik

Teo Kok Seong mengulas kandungan buku teks Pendidikan Kesihatan dan Jasmani tahun 3 yang didakwa 'menyalahkan gadis sebagai mangsa' dalam kes gangguan dan penderaan seksual.

Teo Kok Seong berkata gerakan feminisme pantang melihat apa-apa mudarat yang berlaku kepada kaum wanita, disalahkan kepada kaum wanita. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang ahli akademik menjelaskan antara punca terjadinya kesalahan dalam buku teks adalah masalah suntingan serta penggunaan bahasa yang tidak sesuai terhadap gadis dalam kes gangguan dan penderaan seksual.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Teo Kok Seong berkata, kesalahan bahasa dalam buku teks sekolah biasanya berlaku disebabkan proses penyuntingan yang tidak teliti.

“Bagi saya, proses penyuntingan itu tidak dilakukan sebaik mungkin, disebabkan itu masih terdapat kesalahan dari segi bahasa, ejaan dan sebagainya.

“Proses penyuntingan itu penting dan ia tidak dilakukan dengan baik,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Tahun lalu dilaporkan ibu bapa mempertikai buku teks subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi Tahun 4 mengunakan bahasa asing dan “alien” untuk istilah perisian komputer dan perkakasan.

Semalam, kandungan buku teks Pendidikan Kesihatan dan Pendidikan Kesihatan tahun 3 turut dikritik kerana didakwa mewajarkan tindakan “menyalahkan gadis sebagai mangsa” dalam kes gangguan dan penderaan seksual.

Buku teks itu mencadangkan gadis sentiasa memakai pakaian sopan, menutup pintu bilik ketika menyalin pakaian dan mengelak berjalan di tempat sunyi bersendirian.

Gerakan feminisme

Mengulas mengenai tindakan “menyalahkan gadis sebagai mangsa” dalam buku teks terbabit, Teo berkata jawatankuasa yang menghasilkan buku terbabit berkemungkinan melihat perkara berkenaan sebagai bukan isu.

“Sebab itu, diluluskan dan diangkat menjadi kandungan dalam buku. Tetapi apabila dilihat oleh sesetengah ibubapa maka dilihatnya sebagai tak kena,” katanya.

Teo turut berpendapat teguran daripada sesetengah pihak mengenai kandungan buku Pendidikan Kesihatan itu mempunyai kaitan dengan pergerakan feminisme iaitu pergerakan sejagat membela nasib kaum wanita.

“Dalam pergerakan feminisme ini, mereka pantang sekali melihat apa-apa mudarat yang berlaku kepada kaum wanita itu disalah kepada kaum wanita, mereka tak suka mangsa itu dipersalahkan, mereka nak pendekatan lain.

“Bagi mereka, perlu ditujukan kepada masyarakat di luar sana termasuk kaum lelaki supaya mereka menghormati kaum wanita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.