
Felo kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Teo Kok Seong berkata, sekadar pengucapan perisytiharan rasmi falsafah negara itu tidak cukup untuk memupuk pemahaman sebenar tentang prinsipnya.
“Kita perlu kurikulum dan sukatan pelajaran tertentu, dan perkenalkan pada peringkat sekolah rendah dan tadika,” katanya sambil menggariskan pendekatan tiga peringkat membabitkan hafalan, pemahaman dan aplikasi lima prinsip itu.
“Kita hanya berjaya pada peringkat pertama – hafalan. Sekarang masa untuk laksanakan peringkat kedua – pemahaman – dengan mengambil tindakan konkrit.”
Pada Isnin, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata, kementeriannya sedang berusaha memastikan Rukun Negara diucapkan sepenuhnya di setiap sidang DUN, berikutan kejayaannya dijadikan agenda pada setiap sesi pembukaan Dewan Rakyat.
Katanya, sempena sambutan Bulan Kebangsaan, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional bawah kementerian itu melancarkan program penerangan untuk membantu orang ramai lebih memahami Rukun Negara.
Rukun Negara mengandungi lima prinsip teras falsafah negara, iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara; keluhuran perlembagaan; kedaulatan undang-undang; serta kesopanan dan kesusilaan.
Ia bertujuan memupuk perpaduan negara, memelihara cara hidup demokratik, mewujudkan masyarakat yang adil; menjamin perkembangan masyarakat liberal; dan membina masyarakat yang progresif.
Sementara itu, Tajuddin Rasdi daripada Universiti UCSI menggesa agar Rukun Negara disepadukan dalam pendidikan agama termasuk dalam kurikulum madrasah dan pengajian Islam di sekolah awam.
Katanya, prinsip-prinsip itu mesti dijelaskan dalam sistem nilai Islam kerana istilah seperti ‘progresif’ dan ‘liberal’ dipandang negatif oleh masyarakat Islam konservatif.
“Tanpa menunjukkan bagaimana prinsip-prinsip ini boleh wujud bersama ajaran Islam, sukar untuk Rukun Negara diterima dalam kalangan masyarakat Islam,” katanya.
Walaupun bersetuju dengan cadangan Tajuddin, Teo memberi peringatan tentang memperkenalkan perspektif Islam, yang menurutnya boleh menjauhkan orang bukan Islam.
“(Langkah) memperkenalkan tafsiran Islam terhadap prinsip itu mungkin dilihat sebagai percubaan untuk ‘mengislamkan’ Rukun Negara, yang boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan (golongan) bukan Islam,” katanya menambah, Rukun Negara mesti kekal sekular.