
Ketua Pengarahnya, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata pada masa ini DBP dilihat terlalu eksklusif untuk orang Melayu dan seolah-olah menutup pintu kepada orang bukan Melayu.
“Oleh itu, kami cuba jadikan institusi ini sebagai hak milik masyarakat iaitu insklusif atau menyeluruh untuk orang India, Cina dan sebagainya.
“Jadi sekarang kami mahu memperhebatkan penglibatan bukan Melayu untuk sama-sama memartabatkan dan terlibat sama dalam usaha mengembangkan persuratan kita ini. Antara kaedah yang akan dibuat ialah menterjemahkan karya dalam Bahasa Melayu kepada bahasa lain,” katanya semasa menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, malam tadi.
Sementara itu, Abang Sallehudin menyifatkan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai kota buku dunia 2020 adalah penghormatan tinggi dalam tamadun sesuatu bangsa.
“Pengiktirafan itu dapat menyuntik semangat masyarakat agar terus memperkasakan budaya membaca di negara ini,” katanya.
Pada 12 Nov lepas, Kuala Lumpur diiktiraf sebagai ibu kota buku dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) bagi 2020.
Pengiktirafan tersebut diberikan kepada bandar raya yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap aktiviti berkaitan buku, kesusasteraan, kesenian dan gerakan membaca dalam kalangan warga kotanya.