
Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, gabungan ialah perkara biasa dalam politik Malaysia kerana tiada parti tunggal boleh mentadbir bersendirian dan Perikatan Nasional (PN) sedar ia tidak mampu melangkah jauh kecuali mendapat sokongan di luar pangkalan majoriti Melayunya.

“Persoalannya, sejauh mana jangkauan ini akan diterima bukan Melayu,” katanya kepada FMT.
IPR yang diumumkan 14 Okt lalu menghimpunkan pemimpin Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, Putra, Berjasa, Muda, Parti Kemajuan Malaysia, Parti Perikatan India Muslim Kebangsaan, Parti Rakyat India Malaysia dan Urimai.
Satu kongres kebangsaan dirancang awal tahun depan bertemakan “menyelamatkan Malaysia”, di mana pemimpin akan menggariskan visi gabungan tidak rasmi itu dan pendirian bersama berhubung tadbir urus, kos sara hidup serta perpaduan negara.

Pemimpin Pejuang, Mukhriz Mahathir menyifatkan pakatan itu “langkah baik” untuk menyatukan pelbagai suara pembangkang dan menawarkan perwakilan lebih luas bagi masyarakat Malaysia.
“Kita mungkin berbeza pendapat dalam beberapa isu, tetapi kita mempunyai pendirian sama. Ideanya ialah membentuk pakatan longgar mewakili semua lapisan masyarakat, luar bandar dan bandar serta semua kumpulan etnik.
“Kita boleh saling melengkapi. Memandangkan kita (Pejuang) tiada wakil di Parlimen, kita boleh beri input kepada Ahli Parlimen pembangkang untuk menguatkan lagi suara pembangkang,” katanya kepada FMT.

Presiden Urimai, P Ramasamy, berkata IPR menghimpunkan suara pembangkang untuk membincangkan isu berdasarkan “penyebut biasa”, termasuk kos sara hidup dan Rang Undang-undang Pembaharuan Bandar, antara lain.
Kataya, PN sedar ia perlu mengembangkan pangkalan pengundi bukan Melayunya dan menangani rasa tidak puas hati masyarakat minoriti, khususnya kaum India terhadap kerajaan.
Tetapi, Syed Arabi berkata, IPR mungkin berdepan kesukaran sama yang pernah dihadapi Pakatan Rakyat, apabila pakatan DAP dengan PAS menguatkan parti Islam itu, namun melemahkan DAP dan menyebabkan sebahagian penyokong Cina menjauhinya.
“Persoalan yang sama timbul lagi,” katanya sambil menambah IPR juga perlu berwaspada terhadap respons Pakatan Harapan.
“PH akan kelihatan lebih sanggup mendengar suara India. Itu boleh menjadi sebahagian strategi balasnya untuk memikat pengundi India (yang tidak puas hati).”

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara turut memberi amaran ujian sebenar untuk IPR ialah apabila kerusi diagihkan kepada parti anggota pada PRU akan datang. “Mereka perlu memastikan mereka tidak menentang satu sama lain,” katanya kepada FMT.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, bagaimanapun berkata platform baharu itu bukan untuk mengikat parti di bawah pakatan rasmi, tetapi bagi menyelaras kedudukan dalam isu utama.

“Ia platform untuk penyelarasan isu nasional, khususnya yang membabitkan rakyat seperti kenaikan kos sara hidup dan kesan rang undang-undang tertentu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, PAS melihat kepentingan semua parti pembangkang mempunyai platform untuk menyuarakan pendirian bersama.