
Muka surat itu menunjukkan bagaimana ibu bapa satu watak rekaan, Amira, menasihatkan anak perempuan mereka “cara menjaga kehormatan anggota seksual (bahagian sulit)” dan “menyelamatkan maruahnya” menerusi 3 cara.
Pertama, Amira dinasihatkan sentiasa memakai pakaian sopan. Kedua, beliau perlu menutup pintu bilik ketika menyalin pakaian dan ketiga, mengelak melalui tempat sunyi seorang diri.
Buku itu berkata, jika Amira gagal “menjaga kehormatan bahagian sulitnya”, maruah keluarganya akan tercalar, beliau mendapat malu dan emosi terganggu serta tidak disukai rakan.
Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata tangkap layar yang dimuat naik ke Twitternya pagi tadi datang daripada buku teks Pendidikan Kesihatan tahun 3 yang mewajarkan tindakan “menyalahkan gadis sebagai mangsa”.
“Bukan saja ia meletakkan tanggungjawab mencegah gangguan seksual di bahu seorang gadis semata-mata, ia turut membayangkan beliau ialah puncanya. Memalukan kanak-kanak tidak boleh diterima,” tulisnya dalam Twitter.
Catatan itu mendapat maklum balas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh yang bersetuju dengan Azrul dan berkata “ini perlu dikaji semula”.
Catatan Azrul itu mendapat 700 “retweet” dan 350 “like” ketika berita ini disiarkan, menyebabkan ramai pengguna media sosial memberi cadangan dan komen.
Ada yang mempersoalkan siapa penerbit buku itu dan membidas buku itu “salah dalam pelbagai tahap”.
Ada pula yang bertanya bagaimana layanan kepada lelaki dalam keadaan sedemikian, dengan pengguna Twitter @ShafiqFndz berkata: “Apa pengajaran bagi Amirul?”
Seorang lagi pengguna menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman campur tangan.
“Tengoklah ni dan please do something. Tak kesian ke kat kami perempuan ni, semua salah kami?” tulis @beausunflxwer yang “tagged” 2 pemimpin kerajaan itu dalam catatannya.
Seorang lagi pengguna @cybernout10 menyasarkan Kementerian Pendidikan, yang turut disebut Azrul dalam tweetnya bersama Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.
Tulisnya: “Kudos…kepada MOE (Kementerian Pendidikan)…atas q&a.
“Terima kasih kepada pentaksub yang menulis soalan dan jawapan itu…dan orang yang sama bodoh meluluskannya.”
Seorang lagi pengguna Twitter @geminiesque mencadangkan kanak-kanak diajar bahagian badan mana yang tidak boleh disentuh orang lain dan mereka perlu melaporkannya jika seseorang mengambil kesempatan ke atas badan mereka.
“Ajar juga pada budak darjah 3 ni yang mereka tak boleh buat macam tu pada orang lain. Ini adalah salah.”
Katanya, kandungan dalam buku teks itu hanya akan menyebabkan kanak-kanak takut melaporkan sebarang gangguan atau penderaan seksual yang berlaku ke atas mereka.
FMT sedang menunggu maklum balas Kementerian Pendidikan.