Perakam suara kokpit Lion Air terhempas ditemui

Perakam suara kokpit Lion Air terhempas ditemui

CVR itu ditemui pasukan penyelam Tentera Laut Indonesia dalam operasi menggunakan kapal KRI Spica-934 di Perairan Tanjung Kerawang.

CVR Lion Air yang ditemui diserahkan kepada Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Nasional untuk tindakan lanjut. (Gambar AFP)
JAKARTA:
Perakam suara kokpit (CVR) pesawat Lion Air yang terhempas 29 Okt tahun lepas, ditemui pihak berkuasa Indonesia hari ini.

CVR itu ditemui pasukan penyelam Tentera Laut Indonesia dalam operasi menggunakan kapal KRI Spica-934, di kedalaman 30 meter di koordinat 05 48 46,503 Selatan – 107 07 36,728 Timur di Perairan Tanjung Kerawang.

Menurut Ketua Operasi itu, Left Kol Agung Nugroho, CVR tersebut ditemui pasukan penyelam pada 9.10 pagi tadi dan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) untuk tindakan lanjut.

“CVR itu ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi penemuan perakam data penerbangan (FDR) pada 1 November tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan.

Penerbangan Lion Air JT610 yang membawa 181 penumpang dan 8 anak kapal itu terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta jam 6.20 pada 29 Okt tahun lepas.

Pada 28 Nov tahun lepas, KNKT dalam laporan awal siasatan nahas itu mengesahkan pesawat berkenaan mengalami masalah teknikal beberapa hari sebelum berlakunya tragedi yang mengorbankan 189 nyawa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.