
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata keputusan itu menyusul kegagalan Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) Singapura mendapatkan data daripada CVR itu.
“Makmal di Singapura gagal mendapatkan data akibat isu teknikal. Jadi, ketua Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan pulang (dari Singapura) dan memberi taklimat kepada saya hari ini.
“Kami akan bersiap sedia secepat mungkin untuk pasukan BSKU terbang ke Florida,” katanya dalam sidang media.
Sebelum ini, BSKU berdepan kesukaran mendapatkan semula data kerana CVR itu mengalami kerosakan teruk.
Tetapi, “memory puck” yang mengandungi data rakaman suara berjaya dikeluarkan dan dihantar ke makmal TSIB untuk mendapatkan semula rakaman suara 30 minit sebelum pesawat terhempas.
Jet perniagaan Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Khamis lalu, mengorbankan 10 orang, termasuk Exco Pahang, Johari Harun serta dua orang awam yang kebetulan melalui kawasan nahas.
Pesawat yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Subang itu terhempas dua minit selepas mendapat kebenaran mendarat pada 2.48 petang.