Waris Elmina mohon dengar rakaman audio CVR

Waris Elmina mohon dengar rakaman audio CVR

Nurul Qomar, adik kepada Idris Abdol Talib @ Ramali berkata mereka berharap sesuatu yang lebih jelas untuk mencari jawapan.

Kementerian Pengangkutan hari ini mendedahkan laporan awal kejadian pesawat ringan Beechcraft Premier 1 terhempas di Bandar Elmina, 17 Ogos lalu.
PETALING JAYA:
Waris mangsa nahas pesawat di Elmina Idris Abdol Talib @ Ramali berharap kerajaan dapat membenarkan mereka mendengar kandungan perakam suara kokpit (CVR) yang tiada dalam laporan awal hari ini.

Adik lelakinya, Nurul Qomar, 38, berkata mereka menghargai usaha Kementerian Pengangkutan berkongsi laporan itu namun mereka mengharapkan jawapan jelas kepada punca kejadian.

Menurutnya, memandangkan audio telah CVR berjaya diekstrak, mungkin ia boleh dikongsi kepada keluarga yang ingin tahu detik-detik terakhir sebelum kemalangan itu.

“Kerajaan mungkin tidak mahu mendedahkan rakaman audio itu kepada umum kerana sensitiviti tertentu tetapi mengapa tidak menghubungi sekurang-kurangnya seorang ahli keluarga (mangsa) dan membenarkan mereka mendengar….ini akan memastikan ketelusan.

“Kementerian boleh memanggil ahli keluarga untuk berkumpul dan menerangkan lebih lanjut mengenai penemuan itu secara terperinci, hal teknikal, memainkan audio CVR…jika tidak panjang, mungkin beberapa minit,” katanya menurut Berita Harian.

Idris, 41, adalah pegawai khas kepada exco kerajaan Pahang Johari Harun yang terkorban bersama enam lagi termasuk dua anak kapal selepas pesawat ringan Beechcraft Premier 1 dinaiki mereka terhempas di Bandar Elmina, pada 17 Ogos lepas.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ke Lapangan Terbang Subang, dan diberi kebenaran mendarat pada 2.48 petang namun terhempas dua minit kemudian.

Kementerian Pengangkutan hari ini mendedahkan hasil siasatan awal dan punca kejadian hanya akan diketahui dalam laporan akhir dijangka siap selewat-lewatnya Ogos tahun depan.

Kementerian Pengangkutan dalam laporan awal dikeluarkan pagi ini memaklumkan aspek kesihatan boleh diketepikan kerana kedua-dua juruterbang mendapat rehat yang cukup sebelum penerbangan dan tidak mengalami masalah kesihatan yang boleh mendatangkan bahaya, berdasarkan sejarah pemeriksaan fizikal.

Menurutnya, transkripsi awal rakaman suara kokpit (CVR) telah selesai dan analisis audio masih berjalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.