Mata wang digital ditetapkan sebagai sekuriti mulai esok

Mata wang digital ditetapkan sebagai sekuriti mulai esok

Kementerian Kewangan berkata mata wang digital akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mulai esok.

Gambar AFP
KUALA LUMPUR:
Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 akan mula berkuat kuasa esok.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata berikutan ini, mata wang digital dan token digital seperti yang dinyatakan di dalam perintah itu (secara kolektif dikenali sebagai aset digital) akan ditetapkan sebagai sekuriti dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Penawaran instrumen tersebut, serta aktiviti yang berkaitan, akan memerlukan kebenaran daripada SC dan perlu mematuhi undang-undang sekuriti yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Kewangan berpandangan aset digital, beserta teknologi “blockchain” yang menjadi asasnya, berpotensi besar untuk membawa inovasi di dalam industri yang lama dan baru.

“Secara khususnya, kami percaya bahawa aset digital mempunyai peranan untuk menjadi satu kaedah alternatif bagi penjanaan dana oleh para usahawan dan perniagaan baharu serta sebagai kelas aset alternatif kepada pelabur.

“Dalam hal ini, SC akan menetapkan syarat-syarat berkenaan untuk menjalankan tawaran syiling permulaan (ICO) serta perdagangan aset digital dan pasaran aset digital di Malaysia,” katanya lagi.

Lim berkata rangka kerja SC dijangka akan dilancarkan menjelang akhir suku pertama 2019.

“Mana-mana orang yang menawar ICO atau operasi aset digital tanpa kelulusan SC boleh dihukum apabila disabit, dengan penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM10 juta,” katanya.

SC dalam susulan kepada kenyataan Guan Eng berkata ia akan mengumumkan garis panduan yang akan merangkumi pengwujudan kriteria bagi menentukan tatacara penerbit dan pengendali bursa, piawaian pendedahan dan amalan terbaik dalam penentuan harga , undang-undang urus niaga dan perlindungan aset pelanggan.

“Mereka yang berurusan dalam aset digital perlu memasukkan undang-undang kewangan anti keganasan serta pencegahan pengubahan wang haram, keselamatan siber dan langkah-langkah kesinambungan perniagaan.

“Bagi tujuan perlaksanaan rangka kerja pengawalseliaan aset digital, SC dan Bank Negara Malaysia akan mengadakan satu penyelarasan koordinasi untuk memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah kedua-dua pengawal selia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.