
Ketua Pemuda Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas tanpa memilih kasih kerana perbuatan memberikan wang bertentangan Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Jika (bekas) ahli Parlimen BN Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh dari BN terdahulu boleh dibatalkan statusnya kerana didapati bersalah memberikan suapan kepada pengundi Orang Asli dalam pilihan raya 9 Mei lalu, maka apa bezanya dengan calon DAP-PH kali ini?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau merujuk keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada November lalu membatalkan kemenangan Naib Presiden MIC, Sivarraajh di Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14 lalu, selepas mendapati wujud unsur rasuah dalam tempoh berkempen.
Pagi tadi, beberapa gambar tersebar di media sosial menunjukkan beberapa individu berbaju PH didakwa mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands yang dalam tempoh berkempen PRK.
Terdahulu, Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet dilapor menjelaskan gambar beberapa individu berbaju PH mengagihkan wang bukannya untuk membeli undi, tetapi ia adalah bayaran balik kos petrol kepada sukarelawan.
Katanya, pembayaran balik itu akan diisytiharkan sebagai perbelanjaan PH bagi PRK Cameron Highlands.
Difahamkan, MIC membuat laporan polis berhubung gambar pemberian wang itu kira-kira 3 petang tadi.
Asyraf meminta PH berhenti menipu rakyat dan menyifatkan penjelasan PH mengenai pemberian wang itu ialah bayaran kepada jentera parti, sebagai taktik politik lapuk yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Apakah selepas ini, DAP dan PH akan menjadikan semua pengundi Orang Asli sebagai jentera parti bagi menghalalkan pemberian rasuah politik bagi menagih undi sepanjang musim PRK Cameron Highlands ini?” soalnya.
Sementara itu, calon BN bagi PRK Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor menggesa rakyat menilai sendiri sejauh mana PH bebas daripada politik wang seperti dilaungkan mereka.
Beliau menyerahkan kepada SPR dan SPRM untuk menyiasat dakwaan pembelian undi itu.
Katanya, beliau tidak perlu menyogok pengundi untuk menang pada 26 Januari nanti.
“Kaum saya ini saya akan uruskan, saya tidak perlu bagi duit, lantikan saya bukan atas dasar rasuah atau apa-apa dasar,” katanya selepas menemui penduduk Kampung Orang Asli Sungai Ruil di Cameron Highlands, hari ini.
“Saya ikhlas nak mewakili mereka dan menyampaikan isi hati mereka, saya bukan (calon bidan) terjun dari mana-mana kawasan dari Teluk Intan ke, Seremban ke, ini kampung halaman saya.”