Pemimpin DAP akui PH tiada kelebihan di PRK Cameron Highlands

Pemimpin DAP akui PH tiada kelebihan di PRK Cameron Highlands

Liew Chin Tong meminta jentera PH bekerja bersungguh-sunggu dalam tempoh berkempen yang berbaki 13 hari untuk mengubah 'mood' pengundi di Cameron Highlands.

Liew Chin Tong berkata, peluang BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands amat cerah.
CAMERON HIGHLANDS:
Pemimpin DAP, Liew Chin Tong mengakui Pakatan Harapan (PH) tiada kelebihan dalam pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

“Peluang kita tidak secerah Barisan Nasional (BN). BN memang lebih kuat, terutamanya di kawasan Orang Asli. Ini hakikat yang kita kena hadapi,” katanya selepas melawat perkampungan Orang Asli di Pos Mensun hari ini.

Pengerusi DAP Johor merangkap ketua Biro Pendidikan Politik DAP itu bagaimanapun menggesa jentera PH menggunakan tempoh berkempen yang berbaki 13 hari untuk mengubah “mood” pengundi.

“Walaupun peluang PH tidak sebaik BN, kita masih ada 13 hari. Kita kena kerja bersungguh-sungguh supaya kita boleh cipta sejarah kerana pertama kali kita boleh menang di Cameron Highlands dan mendapat sokongan tinggi daripada Orang Asli berbanding pilihan raya umum lalu.”

Terdahulu, Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mengakui PH sukar merampas kerusi Parlimen Cameron Highlands daripada BN yang menggunakan sentimen Orang Asli untuk memenangi PRK itu.

PRK Cameron Highlands menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara calon PH, M Manogaran, calon BN daripada masyarakat Orang Asli, Ramli Mohd Nor dan 2 calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

Cameron Highlands ialah kerusi tradisi MIC yang dimenangi Naib Presidennya, Datuk C Sivarraajh pada pilihan raya umum ke-14 lalu dengan menewaskan pencabar terdekatnya, M Manogaran dalam pertandingan 5 penjuru dengan majoriti 597 undi.

November lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh, selepas mendapati wujud unsur rasuah dalam tempoh berkempen.

Untuk rekod, MIC bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands sejak 2004.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.