
“Kita nak ingatkan kepada mereka bahawa PRK ini tidak perlu, tetapi ia terjadi kerana PH mendakwa penyandangnya, Datuk C Sivarraajh telah melakukan kesalahan di bawah Akta (Kesalahan) Pilihan Raya, sebagai contoh buat kenduri untuk mendapatkan sokongan.
“Perkara ini (pemberian wang) sepatutnya tidak dilakukan oleh PH kerana mereka sendiri yang telah membuat petisyen untuk membatalkan kemenangan Sivarraajh.
“Kami minta (calon PH) tarik diri atau SPR lucutkan kelayakan calon (PH) daripada PRK kali ini,” kata Ketua Pemuda Umno Pahang, Mohd Farid Mohd Nor selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Tanah Rata, hari ini.
Pada 4 Jun lalu, calon PH, M Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan keputusan pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu bagi kerusi Cameron Highlands yang disandang Datuk C Sivarraajh daripada MIC, terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Susulan itu, Mahkamah Pilihan Raya pada November lalu membatalkan kemenangan Sivarraajh di kerusi itu, selepas mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh berkempen.
Cameron Highlands ialah kerusi tradisi MIC yang dimenangi Sivarraajh pada pilihan raya umum 9 Mei lalu dengan majoriti 597 undi, selepas menewaskan Manogaran dan 3 pencabar lain.
Pagi tadi, beberapa gambar tersebar di media sosial menunjukkan beberapa individu berbaju merah dengan logo PH didakwa mengagihkan wang kepada penduduk Cameron Highlands yang dalam tempoh berkempen PRK.
Terdahulu, Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet dilapor menjelaskan gambar beberapa individu berbaju PH mengagihkan wang bukannya untuk membeli undi, tetapi ia adalah bayaran balik kos petrol kepada sukarelawan.
Katanya, pembayaran balik itu akan diisytiharkan sebagai perbelanjaan PH bagi PRK Cameron Highlands.
Farid berkata, kenyataan PH itu sekadar penafian semata-mata dan beliau menggesa SPRM menyiasat jika wujud unsur rasuah dalam tindakan pengagihan wang itu.
“Kami juga akan membuat laporan SPR, saya harap semua badan ini ambil tindakan, bukan setakat menyiasat.
“Di bawah era Malaysia Baru ini, sepatutnya kerajaan menunjukkan contoh lebih baik berbanding kami dulu yang dikatakan kurang baik, lebih-lebih lagi calon PH menandatangani ikrar untuk memastikan pilihan raya kali ini dijalankan dalam keadaan bersih dan adil.
“Kita kesal kerana perkara ini berlaku sebaik sahaja ikrar itu ditandatangani. Calon kita dipertikai kerana tak tandatangan (ikrar itu), tapi sebaik sahaja tandatangan, dia sendiri buat,” dakwanya.
Farid turut mempertikaikan keperluan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyiasat pihak yang menyebarkan gambar pemberian wang itu di media sosial dan bukannya tindakan mengagihkan wang itu.
“SKMM kenapa perlu siasat mereka yang menyebarkan gambar tersebut?…sepatutnya dakwaan (beri wang) ini yang disiasat, bukan siasat siapa yang menyebarkan gambar-gambar ini. Ini satu perkara yang pelik dan ajaib dalam Malaysia Baru.”