Dakwa beli undi menjelang pemilihan DAP, Satees repot SPRM

Dakwa beli undi menjelang pemilihan DAP, Satees repot SPRM

Bekas Adun DAP Satees Muniandy berharap agensi antirasuah itu tidak akan melengahkan siasatan ke atas dakwaan terbabit.

Setiausaha Urimai Satees Muniandy membuat laporan di pejabat SPRM Pulau Pinang tengah hari tadi.
PETALING JAYA:
Bekas Adun Bagan Dalam, Satees Muniandy membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan wujud pembelian undi menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hujung minggu ini.

Menurutnya, beliau membuat laporan di pejabat SPRM Pulau Pinang tengah hari tadi.

Katanya, beliau tidak berminat campur tangan hal ehwal dalaman DAP, yang lama ditinggalkannya.

“Tetapi, kebimbangan saya ialah apabila parti politik dalam kerajaan (persekutuan) terbabit politik wang, ia menjejaskan kerajaan secara keseluruhan.

“Tambahan, DAP memainkan peranan penting dalam menerajui kerajaan Pulau Pinang, jadi isu ini pasti memberi kesan kepada negeri ini. Saya harap SPRM tidak melengahkan perkara ini,” katanya kepada FMT.

Satees yang kini bersama Urimai berkata, seorang ahli seumur hidup DAP mendakwa pembelian undi berlaku dalam proses pemilihan jawatan pucuk pimpinan.

Ahli itu mendakwa perwakilan ditawarkan wang tunai dalam bentuk “elaun perjalanan” dan penginapan hujung minggu di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur.

Satees berkata, beberapa sumber memberitahunya seorang Ahli Parlimen dan Adun Pulau Pinang terbabit dalam pembelian undi untuk pegawai atasan politik mereka.

Terdahulu, Setiausaha Organisasi DAP, Steven Sim menolak dakwaan itu dengan berkata: “Saya yakin dengan budaya DAP, dengan perwakilan kita, ahli kita bahawa tidak ada perkara sebegini.”

Katanya, DAP telah melantik sebuah firma antarabangsa sebagai pengendali pemilihan parti kali ini bagi memastikan ia dilaksanakan dengan bersih, telus dan adil.

Satees berkata, perkara itu bukan mengenai proses pemilihan dikendalikan, tetapi dakwaan wujud politik wang yang tidak boleh diambil ringan.

“Dari mana datangnya wang ini? Saya ada beberapa maklumat penting yang perlu diteliti SPRM,” kata setiausaha Urimai itu.

Beliau mendakwa individu seperti Sim atau Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook tidak dapat mengambil tindakan kerana mereka yang terbabit “terlalu berkuasa atau berpengaruh”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.