‘Badan progresif bantu Tok Batin urus kampung Orang Asli’

‘Badan progresif bantu Tok Batin urus kampung Orang Asli’

Jabatan Kemajuan Orang Asli berkata, jawatan Tok Batin dan penghulu diwarisi melalui keturunan, tetapi ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli dipilih melalui undian setiap 2 tahun.

Ajis Sitin berkata, kampung Orang Asli kini diuruskan MPKKOA yang ahlinya dipilih melalui undian oleh penduduk kampung. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berkata, pentadbiran kampung Orang Asli yang diuruskan Tok Batin, kini dibantu badan progresif dinamakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA).

Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Ajis Sitin berkata, Tok Batin dan penghulu dilantik melalui keturunan, di mana mereka yang meninggal dunia akan digantikan anak masing-masing.

Katanya, Jakoa menghormati institusi Tok Batin dan penghulu dalam masyarakat Orang Asli dan fungsinya tidak lagi terhad kepada isu kebudayaan dan adat resam, sebaliknya turut merangkumi perkara berkaitan pembangunan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

Katanya, selain Tok Batin dan penghulu, kampung Orang Asli kini turut diuruskan MPKKOA, di mana ahlinya dipilih melalui undian yang mematuhi tatacara ketat oleh penduduk kampung.

“Ahli majlis itu akan dipilih secara undian setiap 2 tahun, di mana MPKKOA menjadi ranting kepada pentadbiran Jakoa di peringkat kampung,” katanya dalam kenyataan malam ini.

“Kedua-dua institusi ini merupakan inisiatif kerajaan persekutuan ke arah pengurusan pembangunan manusia lebih berkesan. Malah, mereka juga dibayar elaun bulanan oleh kerajaan persekutuan.”

Katanya, Jakoa yang kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri turut melakukan perancangan teliti bagi memastikan semua inisiatif dirangka berjaya direalisasikan.

Terdahulu, Bersih 2.0 menggesa pilihan raya diadakan untuk memastikan Tok Batin, ketua kampung serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dipilih secara demokratik.

Katanya, cara itu lebih baik daripada lantikan politik oleh kerajaan persekutuan dan negeri, selepas seorang senator PKR, Bob Manolan Mohamad didakwa memberi amaran kepada Tok Batin di Cameron Highlands akan kehilangan jawatan jika tidak menyokong parti pemerintah.

Manolan menafikan dakwaan itu dan berkata, beliau hanya meminta Tok Batin yang merupakan ketua Umno cawangan yang tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan supaya meletak jawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.