
Syarikat itu memberitahu FMT, skim pemisahan pekerja (SSS) akan ditawarkan mengikut Akta Kerja 1955.
“Kebanyakan kakitangan Intekma tidak diperlukan lagi. Beberapa kakitangan akan dikekalkan untuk mengisi jawatan kritikal yang dikenal pasti dan ada yang akan dipindahkan atau ditugaskan semula bagi kekosongan lain dalam kumpulan ini.
“Untuk membantu kakitangan yang bakal diberhentikan, pihak pengurusan akan bekerjasama dengan mereka untuk menyediakan kaunseling dan bantuan dalam mencari peluang pekerjaan di tempat lain.”
Ia susulan laporan FMT yang memetik satu surat pekeliling bertarikh 10 Januari lalu kepada pekerjanya yang hotel 3 bintang itu akan ditutup sepenuhnya menjelang akhir Mac ini.
Hari ini, syarikat itu berkata, IRCC yang yang sudah beroperasi 30 tahun, terpaksa ditutup akibat masalah operasi dan kewangan yang dialaminya dalam beberapa tahun ini.
“Ia berpunca daripada kemudahan usang dan saingan sengit dalam industri hospitaliti, khasnya di kawasan Shah Alam.”
Menurutnya, aset dan kemudahan sedia ada di bangunan 5 tingkat itu akan dijadikan tempat penginapan pelajar bagi UiTM Private Education Sdn Bhd.
Tetapi, penutupan IRCC tidak akan menjejaskan latihan amali pelajar jurusan perhotelan dan hospitaliti UiTM kerana ia bukannya pusat latihan.
“UiTM mempunyai rangkaian hospitalitinya sendiri di bawah Hotel UiTM yang berperanan sebagai kemudahan latihan bagi pelajar UiTM.”