Tengku Abdullah dilantik Sultan Pahang baru

Tengku Abdullah dilantik Sultan Pahang baru

Istiadat pemasyhuran Sultan Pahang ke-6 itu akan berlangsung di Istana Abu Bakar, Selasa depan.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. (Gambar Bernama)
PEKAN:
Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dilantik sebagai Sultan Pahang ke-6 bagi menggantikan Sultan Ahmad Shah berkuat kuasa serta-merta.

Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang membuat pengumuman itu berkata, cadangan melantik Tengku Abdullah dibuat ekoran keadaan Sultan Ahmad Shah yang kini dalam keadaan gering.

Baginda berkata, cadangan melantik Tengku Abdullah dikemukakan pada mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam, setelah perbincangan diadakan di kalangan keluarga dan dipersetujui sebulat suara.

“Dalam keadaan sedih dan dukacita, saya dan keluarga menerima hakikat paduka ayahanda saya tidak lagi boleh memikul tugas dan tanggungjawab sebagai raja pemerintah.

“Menyedari keadaan ini, saya dan keluarga terdekat sependapat mencadangkan Jumaah Pangkuan negeri supaya paduka kekanda saya, Tengku Abdullah dilantik sebagai pengganti kepada ayahanda Sultan Pahang,” katanya dalam sidang media khas di Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Salehuddin Ishak, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Sultan Ahmad Shah, kerabat diraja dan barisan pentadbiran negeri.

Tengku Abdul Rahman berkata, berikutan itu Jumaah Pangkuan Diraja Pahang dalam mesyuarat itu bersetuju meluluskan pindaan Bahagian 1 Perkara 9 A Undang-undang Tubuh Negeri Pahang untuk memberi kuasa kepada Jumaah Pangkuan Diraja Pahang menurunkan takhta raja kerana kegeringan besar dan berat selepas disiasat, berkuat kuasa 11 Januari.

Katanya, semasa pindaan itu dilakukan, Sultan Abdullah selaku salah seorang ahli majlis berkenaan meninggalkan mesyuarat untuk perkara itu dibincangkan dan selepas keputusan diambil, ia dipersembahkan kepada Sultan Abdullah untuk dipersetujui.

“Saya yakin paduka kekanda saya akan menjadi seorang sultan yang cekap, cergas dan seadil yang tidak kurang daripada ayahanda saya…ayahanda saya mendidik baginda dengan memberi segala latihan, tunjuk ajar dan bimbingan dan telah menjalankan tugas sebagai pemangku raja Pahang.”

Sejajar pelantikan itu, Sultan Abdullah bertitah Sultan Ahmad Shah diisytiharkan gelaran Duli Yang Maha Mulia Ayahanda Sultan Ahmad Shah.

“…ini bersesuaian dengan keprihatinan dan sifat kebapaan Ayahanda Sultan kepada rakyat Pahang keseluruhannya. Tiada apa yang lebih dekat di hatinya selain daripada rakyat.”

Beliau berkata, istiadat pemasyhuran itu akan berlangsung di Istana Abu Bakar pada 11 pagi Selasa depan, manakala istiadat pertabalan akan diadakan dalam tempoh setahun.

Mengulas waris Sultan Pahang seterusnya, Tengku Abdul Rahman berkata, perkara itu lebih sesuai dimaklumkan Sultan Pahang, memandangkan anakanda sulung Sultan Abdullah, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sedang melanjutkan pelajaran di luar negara.

Mengenai keadaan Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdul Rahman meminta rakyat mendoakan kesihatan baginda bertambah baik dan dapat menghadiri istiadat pemasyhuran.

“Semalam, pakar-pakar memberi keterangan kepada Jumaah Pangkuan Diraja dan saya kalau boleh, mahu biarkan ia setakat itu sahaja.

“Saya sekeluarga merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Pahang yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Ayahanda Sultan. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pakar-pakar dan pasukan kesihatan atas khidmat dan menjaga Ayahanda Sultan dengan cemerlang.”

Bagaimanapun, Tengku Abdul Rahman berkata, mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang semalam tidak membincangkan isu melantik Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Perbincangan Jumaah Pangkuan Diraja Pahang adalah perihal berkaitan negeri…pelantikan (Agong) terletak di bawah Majlis Raja-raja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.