Salah guna kuasa: Bekas pengerusi Tourism Malaysia bebas dengan jaminan SPRM

Salah guna kuasa: Bekas pengerusi Tourism Malaysia bebas dengan jaminan SPRM

Suspek direman 4 hari sejak Rabu lepas berhubung siasatan dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Bekas pengerusi Tourism Malaysia, Siew Ka Wei (tengah), disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM, iaitu kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.
PUTRAJAYA:
Bekas pengerusi Tourism Malaysia yang ditahan dalam siasatan berkaitan dakwaan salah guna kuasa agensi kerajaan itu dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Datuk Siew Ka Wei direman 4 hari sejak Rabu dalam siasatan ke atas dakwaan penyalahgunaan kuasa. Turut dibebaskan seorang wanita yang merupakan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat yang sebelum ini ditahan atas kes yang sama.

Majistret, Atikah Abu Hassan mengeluarkan perintah itu selepas tempoh reman 4 hari terhadap kedua-dua individu berkenaan tamat hari ini.

Terdahulu kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret secara berasingan kira-kira jam 9 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Siasatan ke atas kes tersebut dibuat bawah Seksyen 23 Akta SPRM, iaitu kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.

Jun lalu, SPRM pergi ke Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dipercayai ada kaitan dengan satu kontrak ditandatangani Tourism Malaysia dengan sebuah syarikat.

Bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menggesa pihak berkuasa mengkaji kontrak promosi antara Tourism Malaysia dan sebuah syarikat yang didakwa diberikan dalam keadaan mencurigakan.

Wee yang juga bekas pengerusi Tourism Malaysia mendakwa mesyuarat mengenai perjanjian rundingan terus bernilai RM99 juta itu, bersama kelulusan dan pemeteraian kontrak itu selesai dibuat dalam masa sehari.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab menyangkal dakwaan Wee.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.