
Pemantau pilihan raya mendedahkan beberapa ahli Kabinet ditemui di acara-acara kerajaan sebelum tempoh rasmi berkempen yang bermula esok.
Pengerusi Thomas Fann berkata tidak patut ada acara diadakan oleh kerajaan atau pembangkang untuk meraih sokongan sebelum tempoh berkempen.
“Undang-undang perlu jelas tentang apa yang tidak boleh dilakukan, kerana undang-undang sekarang tidak sebut tentang penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen,” katanya.
“Kami mencadangkan undang-undang digubal yang menjadikan penggunaan sumber kerajaan untuk berkempen bagi calon pilihan raya satu kesalahan.”
Beliau juga bimbang akan dakwaan mengatakan menteri menyalahgunakan sumber kerajaan untuk berkempen bagi parti politik.
“Tak salah sokong calon-calon pilihan raya, tapi menteri perlulah pisahkan urusan kerajaan daripada politik,” katanya.
Tempoh berkempen bagi pilihan raya kecil Cameron Highlands bermula dari 12 hingga 25 Januari. Hari pengundian ditetapkan pada 26 Januari.
Menteri-menteri dilihat menghadiri acara-acara bersama orang tempatan di Cameron Highlands dari sebelum hari penamaan lagi, tetapi mereka nafi ia kerana pilihan raya kecil.