
“Ia tidak sensitif kalau cadangan itu datang daripada bukan Melayu,” kata Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Teo Kok Seong.
Bercakap kepada FMT, beliau berpendapat perkara demikian perlu dibincangkan secara dalaman terlebih dulu.
Beliau berkata, walaupun cadangan itu berniat baik, Melayu dan Bumiputera belum bersedia untuk membuka persekitaran pembelajaran UiTM di semua peringkat pengajian, meliputi diploma, izajah dan pasca siswazah, kepada bukan Bumiputera.
Katanya, cadangan supaya kuota tertentu ditetapkan untuk pengambilan bukan Bumiputera belajar di UiTM pernah dibincangkan sebelum ini bagi tujuan persaingan, tetapi ia sukar diterima majoriti rakyat.
“Ia perlu dipertimbangkan secara cermat sebab UiTM sehingga hari ini dilihat sebagai institusi khusus untuk Melayu dan Bumiputera.
“Perkara (hadkan kuota pelajar bukan Bumiputera) ini pernah dibincangkan dahulu, supaya ia dibuka sedikit sahaja untuk tujuan persaingan, tapi rata-rata masyarakat Melayu belum bersedia,” katanya.
Walaupun tujuamnnya baik, katanya, kesediaan dan persetujuan perlu diperolehi dahulu daripada orang Melayu.
Beliau merujuk kepada kenyataan pengarah pertama Institut Teknologi Mara ketika ia dibuka pada 1965, Tan Sri Arshad Ayub yang mencadangkan supaya pelajar bukan-Bumiputera diterima belajar di pusat pengajian tinggi itu.
Arshad, yang memegang jawatan itu selama 10 tahun berkata, beliau percaya Malaysia telah mencapai satu tahap dalam sejarahnya yang mewajarkan UiTM menerima pelajar semua kaum, tetapi hanya untuk pengajian pasca siswazah.
Teo berkata, untuk merealisasi hasrat UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera pihak terberkaitan perlu membentangkan cadangan itu kepada masyarakat umum dan mengambil pandangan di semua peringkat.
“Kalau matlamat ini ingin dicapai oleh UiTM, maka perkara ini perlu diperkenal kepada masyarakat umum terutamanya kepada Melayu dan Bumiputera.
“Setiap maklum balas daripada perbahasan perlu dibuat dan jika majoriti sudah faham dan boleh menerimanya baru ia layak dilaksanakan bagi mengelak berlakunya perkara sensitif sehingga boleh menyebabkan keadaan buruk.
“Saya kira perkara ini mungkin boleh dilakukan tetapi harus secara berjadual. Tidak boleh secara mendadak dalam waktu terdekat membuat sesuatu dasar,” katanya.
Mengenai akan wujudnya desakan segelintir pihak supaya hanya sekolah satu aliran diperkenal dan menghapuskan sekolah vernakular supaya ia lebih adil sebagai ganti kepada cadangan membuka UiTM kepada bukan Melayu, Teo berkata, isu tersebut perkara berbeza.