
Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah yang merupakan naib canselor ke-2 universiti itu dari 2001 hingga 2009, mempersoalkan keperluan membuka pengajian pasca-siswazah UiTM kepada pelajar bukan-Bumiputera.
“UiTM diwujudkan di bawah Perkara 153 Perlembagaan. Akta kita sendiri, kita bukan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. UiTM diwujudkan untuk Melayu dan Bumiputera. Itu pada dasarnya,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau mengulas saranan Arshad yang berkata, UiTM wajar menerima pelajar semua kaum, tetapi hanya untuk pengajian pasca siswazah.
Tetapi, katanya, pelajar Melayu dan Bumiputera belum bersedia bersaing dengan bangsa lain di peringkat ijazah pertama, latihan profesional seperti bidang perakaunan dan kejuruteraan.
Hari ini, Ibrahim yang juga senator berkata, UiTM lebih hebat daripada kebanyakan universiti, walaupun tanpa pelajar bukan-Bumiputera.
Katanya, 75% daripada graduan Bumiputera Sabah dan Sarawak berjaya dalam bidang masing-masing seperti peguam, arkitek, doktor dan ahli perniagaan.
“Saya masih ingat semasa saya jadi naib canselor, saya mewujudkan Fakulti Perubatan dan Pergigian.
“Kedua-dua fakulti ini merupakan fakulti yang terbaik di negara ini. Apakah dengan mengatakan tanpa pelajar bukan Melayu, kita jadi bodoh, tak pandai ke,” soalnya.
“Kalau ada aduan mengatakan tanpa pelajar lain, kita ini bodoh, tak berjaya, itu mungkin saya boleh fikir balik.”
Beliau turut mempersoalkan mengapa perlu membuka UiTM kepada kaum lain, sedangkan secara keseluruhannya, hanya ada 35% pelajar Bumiputera di peringkat universiti.
“Kalau dicampur IPTA, IPTS dan pelajar-pelajar yang menggunakan duit sendiri di luar negara, kita hanya 35%. Yang paling teruk di bahagian-bahagian kritikal, kita masih tercorot. Jadi, mengapa perlu kita buka (kepada kaum lain)?”