
Kamarul Zaman Yusoff berkata, keputusan pengerusi PPBM Perlis, Amier Hassan mengetuai gerakan memecat Wan Saiful tanpa mengadakan rundingan dengan pimpinan pusat adalah langkah yang tidak bijak dan “silap besar”.
“Perlu diingat Wan Saiful adalah satu nama besar di peringkat nasional di mana beliau adalah ahli Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) PPBM selain timbalan pengerusi biro strategi dan dasar PPBM.
“Lantikan beliau sebagai setiausaha PPBM Perlis pada 15 Julai lalu adalah langkah yang tepat bagi membantu memperkasakan PPBM Perlis, tambahan pula dengan jawatan beliau sebagai pengerusi PTPTN.
“Penamatan jawatan (Wan Saiful) sepatutnya dibuat secara berhemah dengan memberi makluman kepada pemimpin terbabit dan disertakan dengan pemberian alasan yang munasabah bagi mengelakkan ia dari boleh menimbulkan keributan dalam parti,” katanya kepada FMT.
Kamarul tidak menolak kemungkinan pemecatan Wan Saiful tanpa alasan kukuh kerana bimbang kedudukan pucuk pimpinan PPBM negeri tergugat.
“Penonjolan dan keaktifan Wan Saiful yang masih muda ini mungkin sahaja mendatangkan kegusaran pemimpin tertentu mengenai kemungkinan beliau akan diberi kepercayaan mengambil alih tampuk kepimpinan PPBM Perlis.
“Apatah lagi bila sebelum ini pun timbul banyak rungutan mengenai kewibawaan pengerusi PPBM Perlis dalam mengendalikan parti itu, terutama dalam keadaan usia beliau yang sudah menjangkau 79 tahun, ditambah pula beliau tidak mempunyai sebarang rekod yang cemerlang,” katanya.
Tambahnya, PPBM Perlis di bawah Amier gagal memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.
Semalam Amier mengesahkan Wan Saiful digugurkan sebagai setiausaha PPBM Perlis. Pengguguran itu diputuskan dalam mesyuarat pimpinan negeri 2 hari lalu.
Amier berkata Wan Saiful digugurkan supaya beliau dapat tumpu kepada tugasnya sebagai pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Dia dimaklumkan mengenai keputusan kita. Dia tidak layak untuk buat kerja kerana dia mungkin tidak ada masa, biarlah dia dengan PTPTN,” kata Amier.
Keputusan Amier itu bagaimanapun dibantah beberapa pemimpin PPBM Perlis termasuk dari sayap Pemuda.
Penguguran Wan Saiful itu disusuli tindakannya sebelum ini yang mendedahkan beliau membuat laporan polis mengenai pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat PPBM Perlis dan bertegas dia tidak akan menarik balik laporannya.
Wan Saiful juga bertegas untuk tidak mencampuri urusan mengaturkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pimpinan PPBM Perlis.
PPBM Perlis bermasalah
Kamarul Zaman berkata pendedahan yang dibuat Wan Saiful itu jelas menunjukkan barisan kepimpinan PPBM Perlis bermasalah terutamanya cenderung kepada aktiviti rasuah.
“Kenyataan Amier bahawa Wan Saiful tidak patut mendedahkan perkara ini kerana ia kononnya umpama perbuatan meludah ke langit yang boleh memalukan PPBM Perlis tidak menunjukkan beliau sebagai seorang pemimpin yang berwibawa.
“Dalam era ketelusan dan pertanggungjawaban sekarang, sebarang cubaan untuk membuat salah laku seharusnya dibendung awal-awal sebelum ia sampai ke peringkat yang lebih membarah sehingga boleh menyebabkan keyakinan rakyat terhakis.
“Jika perjalanan PPBM sebagai tonggak Pakatan Harapan di Perlis bermasalah maka sudah tentulah perjalanan Pakatan Harapan di Perlis akan bermasalah,” katanya.