
Presidennya George Varughese berkata, badan itu “terkejut” susulan pengumuman Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu baru-baru ini.
“Kami juga kecewa dengan kenyatan beliau bahawa tanpa Sosma, pengganas dan penjenayah bebas mengancam keselamatan negara, dan ‘keadaan adalah terkawal’ dengan adanya 2 akta keselamatan lain, iaitu Poca dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota),” katanya dalam satu kenyataan.
Varughese mengingatkan kerajaan bahawa Sosma dan Poca adalah antara undang-undang yang disifatkan oleh Pakatan Harapan sebagai “menindas” dan “sewenang-wenang” dalam manifesto pilihan rayanya.
“Dalam manifesto itu, mereka berjanji mahu membatalkan Poca dan memansuhkan peruntukan menindas yang terkandung dalam Sosma,” katanya.
Katanya, sejak sekian lama Majlis Peguam telah “secara tegas dan berterusan” menggesa 2 akta itu dimansuhkan.
“Undang-undang ini bermasalah kerana ia pernah disalahgunakan sebelum ini dan selagi ia kekal sebagai undang-undang, potensinya untuk disalah gunakan oleh mana-mana kerajaan tetap ada, biar betapa tulus niatnya.”
Varughese berkata, dalam usaha negara mempertahankan dan menjaga keharmonian, keamanan dan keselamatan, kerajaan tidak boleh diberikan kuasa luas untuk menyekat hak perlembagaan dan kebebasan sivil mana-mana orang sesuka hatinya.
“Pemerintahan mengikut undang-undang mesti dipatuhi, hak asasi manusia dihormati dan dilindungi serta prinsip keadilan semula jadi mesti terlaksana pada setiap masa dan ketika,” katanya.
“Kegagalan berbuat demikian menyebabkan semua jaminan yang dibuat oleh kerajaan dalam “Malaysia baru’ kini hanyalah berperanan memberikan gambaran palsu tentang keselamatan kerana tidak dapat dinafikan bahawa undang-undang menindas boleh digunakan – atau disalah gunakan – selagi ia tidak dimansuhkan.”
Beliau menegaskan, terdapat undang-undang yang mencukupi untuk menangani ancaman jenayah dan keganasan tanpa perlu bergantung pada Sosma, Poca atau mana-mana undang-undang yang menindas.
Jika perlu, undang-undang sedia ada boleh dipinda atau undang-undang baru yang sesuai digubal bagi memastikan keselamatan negara tidak digugat.
“Kepercayaan dan keyakinan orang ramai kepada kerajaan tidak boleh dibiarkan terhakis.
“Majlis Peguam menggesa kerajaan mempamerkan komitmen penuh kepada manifesto pilihan rayanya dengan memansuhkan semua undang-undang dan peruntukan perundangan yang menindas, termasuk Sosma dan Poca tanpa berlengah lagi,” katanya.