Kerajaan PH peruntuk RM100 juta kepada Orang Asli, Jakoa nafi dakwaan Najib

Kerajaan PH peruntuk RM100 juta kepada Orang Asli, Jakoa nafi dakwaan Najib

Kerajaan peruntuk RM100 juta untuk pembangunan dan kebajikan Orang Asli di seluruh negara dalam Belanjawan 2019.

Ketua Pengarah Jakoa, Ajis Sitin berkata, kerajaan PH memberi fokus kepada pembinaan dan naik taraf jalan perhubungan yang akan memberi kemudahan kepada masyarakat Orang Asli. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menafikan dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menyediakan peruntukan bagi masyarakat Orang Asli dalam pengumuman Bajet 2019.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ajis Sitin, dalam kenyataan hari ini, menjelaskan dalam pembentangan Bajet 2019, kerajaan PH memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi tujuan pembangunan dan kebajikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara.

“Kerajaan PH akan memberi fokus utama terhadap pembinaan dan naik taraf jalan perhubungan yang akan memberi kemudahan kepada masyarakat Orang Asli dalam urusan harian mereka.

“Secara tidak langsung, jalan perhubungan ini akan meningkatkan pembangunan sosio ekonomi masyarakat Orang Asli, terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerusi laman Facebooknya, bahawa kerajaan PH tidak menyediakan peruntukan untuk masyarakat Orang Asli dalam Bajet 2019.

Ajis berkata, Jakoa sedang membuat perancangan secara teliti supaya segala usaha yang dirangka berjaya direalisasikan dengan jumlah peruntukan yang disediakan itu.

“Jakoa yang kini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri mengambil langkah proaktif dan akan berbincang dengan semua pihak bagi memastikan keperluan masyarakat Orang Asli dipenuhi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.