
Seorang pemimpin kanan PPBM memberitahu FMT yang parti itu belum memutuskan sama ada akan melebarkan sayap ke Sabah, walaupun sokongan akar umbi di negeri itu semakin meningkat.
Semalam, Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) Sabah, Datu Akjan Datu Ali Muhammad mendakwa NGO itu berjaya mendapat 19,000 orang, termasuk 12,000 ahlinya untuk mendaftar sebagai ahli PPBM.
Katanya, semua 150,000 ahli Pekida Sabah dijangka mendaftar sebagai ahli PPBM dalam 6 bulan akan datang.
NGO itu adalah satu daripada sekurang-kurangnya 3 kumpulan yang cuba membawa PPBM ke Sabah, tetapi bukan semua orang mahu parti itu melebarkan sayap ke Sabah, di mana parti pemerintah Warisan – sekutu Pakatan Harapan (PH) – mendakwa persetujuan dicapai dengan PH yang Sabah akan dikendalikan Warisan.
Bagaimanapun, Akjan berkata, beliau dan NGO itu memutuskan untuk menyertai PPBM berbanding Warisan kerana tertarik dengan ideologi dan matlamat parti itu yang berdasarkan 5 prinsip Rukun Negara bagi mempromosikan masyarakat adil dan harmoni.

“Kami percaya PPBM yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan berada di kedudukan lebih baik untuk menyatupadukan dan memperkukuhkan kedudukan umat Islam di Sabah.
“Parti itu lebih baik dalam menjaga kepentingan dan memperjuangkan masalah kami.
“Ia juga akan menggalakkan hubungan dan kewujudan lebih baik dengan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama, serta membantu membina negara yang harmoni dan progresif.”
Mengulas kritikan sesetengah kumpulan berhubung kemungkinan PPBM memasuki Sabah, Akjan berkata, mereka mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan, seperti hak rakyat memilih parti yang dirasakan sesuai dengan aspirasi mereka.
Katanya, individu dan parti atau kumpulan terbabit tidak sepatutnya tergugat dengan PPBM.
Beliau turut menggesa pengkritik tidak menyalahkan pucuk pimpinan PPBM kerana menerima permohonan keahlian mereka.
Katanya, mereka sedia berbincang untuk meneroka kemungkinan menjalin kerjasama pada masa depan demi kebaikan bersama negeri itu dan rakyatnya.
Akjan berkata, masih ada keperluan untuk parti Islam yang kuat di Sabah, walaupun ada pihak bercakap mengenai parti politik berbilang kaum.
Ini kerana katanya, ada perkara tertentu yang parti berbilang kaum tidak boleh lakukan kerana ia bertentangan prinsip parti.
Beliau memberi contoh Oktoberfest yang dianjurkan di Sabah tahun lalu, di mana tiada pemimpin Islam dalam kerajaan negeri boleh mengkritik program itu kerana mereka terikat kepada parti berbilang kaum.