Tiada permohonan Tengku Zafrul sertai PKR, kata Fuziah

Tiada permohonan Tengku Zafrul sertai PKR, kata Fuziah

Setiausaha agung PKR juga berkata, tiada laluan khas untuk sesiapa menyertai parti itu.

zafrul
Dilaporkan awal hari ini bahawa rundingan sedang berjalan tentang kemungkinan Tengku Zafrul Aziz meninggalkan Umno untuk menyertai PKR, dengan keputusan dijangka dibuat dalam 2 hari lagi.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata, sesiapa yang berhasrat menyertai parti itu, termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz, mesti mengikut prosedur normal.

FMT melaporkan awal hari ini bahawa rundingan sengit sedang berjalan berhubung kemungkinan Tengku Zafrul meninggalkan Umno untuk menyertai PKR, dengan keputusan dijangka dibuat dalam dua hari lagi, memetik sumber dalaman Umno Selangor.

Fuziah berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara itu dan menegaskan sesiapa yang ingin menyertai PKR mesti membuat permohonan dalam talian.

“Semua yang nak masuk PKR mesti memohon dalam talian, tiada laluan khas,” katanya kepada FMT.

“Kalau ada orang berhajat nak sertai (PKR), kita minta mereka ikut prosedur normal.”

Beliau juga berkata, kepimpinan parti masih belum menerima kemas kini rasmi berhubung permohonan Tengku Zafrul.

Menurutnya, permohonan keahlian mesti diluluskan oleh Majlis Pimpinan Pusat PKR, dan kali terakhir penyertaan ahli baharu diluluskan adalah pada mesyuarat 30 Nov.

Tengku Zafrul, yang juga ketua Umno Kota Raja, meletak jawatan sebagai bendahari Umno Selangor pada Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.