
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad memberitahu Mahkamah Sesyen tentang perkara itu apabila kes Hasanah muncul untuk sebutan kes hari ini.
“Kami mahu memindahkan kes ini ke mahkamah lebih tinggi kerana ia melibatkan isu keselamatan negara,” katanya, dan menambah bahawa dokumen mahkamah telah difailkan semalam.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menetapkan 21 Feb depan untuk sebutan kes berikutnya sementara menunggu permohonan memindahkan kes tersebut.
Mahkamah juga mengarahkan pihak pendakwa menyerahkan semua dokumen perbicaraan kepada peguam Hasanah, Shaharuddin Ali dan Khairul Azam Abdul Aziz sebelum 21 Feb.
Pendakwa telah menyerahkan surat pelantikan Hasanah sebagai ketua pengarah, senarai rampasan, invois, keterangan bergambar, rakaman percakapan dan gambar pejabat Bahagian Penyelidikan.
Khairul meminta mahkamah menamatkan pembekuan ke atas akaun bank Hasanah dengan berkata, beliau memerlukan wang untuk membiayai keperluan hariannya.
Rozina bagaimanapun tidak mengeluarkan apa-apa perintah berhubung permintaan itu dan memberitahu peguam supaya membincangkan isu tersebut dengan pihak pendakwa dan pegawai penyiasat.
Hasanah minta dibicarakan berkait dakwaan menyalahgunakan RM50 juta dana kerajaan pada Okt tahun lepas.
Beliau didakwa menyalahgunakan wang yang diamanahkan kepadanya di Jabatan Perdana Menteri antara 30 Apr dan 9 Mei.
Jika sabit kesalahan, Hasanah boleh didenda dan dipenjarakan antara 2 ke 20 tahun.
Hasanah membayar wang ikat jamin sebanyak RM500,000.
Selepas pilihan raya umum 9 Mei, beliau mendapat perhatian apabila sepucuk suratnya yang ditujukan kepada pengarah Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), Gina Haspel yang meminta Washington menyokong kerajaan Barisan Nasional dibocorkan kepada umum.