
Bagaimanapun, tertuduh, Chuan Chin Ghee, 29, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dikemukakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin, menurut Harian Metro.
Mengikut pertuduhan pertama, dia ketika menjawat jawatan juruaudit akaun di syarikat Wings Freight Express Sdn Bhd di Batu Maung, didakwa melakukan pecah amanah jenayah dengan membuat 12 pemindahan berjumlah RM129,000 dari akaun CIMB Bank syarikat ke akaun CIMB Bank peribadinya antara 6 November dan 8 Disember 2020.
Pertuduhan kedua pula melibatkan 114 pemindahan berjumlah RM929,451.80 antara 1 Januari dan 18 Disember 2021.
Pertuduhan ketiga melibatkan 73 pemindahan berjumlah RM570,947.75 antara 21 Januari dan 29 Disember 2022.
Pertuduhan keempat melibatkan 32 pemindahan berjumlah RM290,500.00 antara 10 Januari dan 22 Mei 2023.
Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong mengendalikan pendakwaan manakala Chuan diwakili oleh peguam M Puveneswaran.
Terdahulu, Lim memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Puveneswaran bagaimanapun memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM10,000 bagi setiap pertuduhan, sambil memberitahu bahawa jaminan hanyalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah dan bukannya sebagai hukuman.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dipohon pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada 13 November sementara menunggu penyerahan dokumen.