Ahli Parlimen keluar Umno tidak jejas keutuhan parti, kata veteran Umno

Ahli Parlimen keluar Umno tidak jejas keutuhan parti, kata veteran Umno

Ahli Parlimen Umno yang keluar parti adalah atas kapasiti individu dan peribadi.

Setiausaha veteran Umno, Mustapha Yaakub berkata, belum kedengaran berita tentang cawangan parti itu dibubarkan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Persatuan Veteran Umno menyelar 17 Ahli Parlimen yang keluar parti sepanjang tahun lalu sebagai “beruk”, tetapi yakin penghijrahan itu tidak akan menjejaskan keutuhan parti atau menggugat kepercayaan ahli.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ini kerana Ahli Parlimen Umno yang keluar parti itu adalah atas kapasiti individu dan peribadi masing-masing.

“Yang keluar mereka, tetapi ahli Umno tetap teguh dengan Umno. Jadi bagi saya tidak beri kesan kepada Umno.

“Malah kedudukan ahli lebih komited dan kukuh. Kita sedia hadapi pilihan raya umum ke-15. Ini ditambah dengan sedikit perubahan alam kepimpinan Umno setelah Datuk Seri Zahid Hamidi menyerahkan tugas presiden Umno kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan,” katanya kepada FMT.

Mustapha berkata, tidak keterlaluan jika disfatkan Ahli Parlimen Umno yang keluar parti itu umpama “beruk” terutamanya selepas Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir berkata, bekas ahli Umno yang menyertai PPBM tidak akan diberi jawatan sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Nak bagi jawatan apa, macam “beruk” lompat dari satu pokok ke pokok lain. Dia pergi pokok itu, ingat boleh makan buah tapi rupanya sudah ada yang jaga dan duduklah mereka melilau,” katanya.

Tiada cawangan Umno dibubarkan

Mustapha berkata, walaupun Ahli Parimen Umno di kawasan tertentu keluar parti, tetapi belum kedengaran lagi berita adanya cawangan parti di bahagian itu dibubarkan.

“Saya ambil contoh, 17 Ahli Parlimen Umno yang keluar parti dan majoriti mereka ketua bahagian. Walaupun mereka keluar kita tak dengar ada cawangan atau bahagian dibubarkan. Paling banyak Tok Pa (Mustapa Mohamed) yang bawa bersama sertai PPBM hanya 1,500 ahli sahaja. Di Jeli ada 30,000 ahli Umno,” katanya.

Dr Azmi Hassan berkata, Umno masih bertahan berdasarkan jumlah Ahli Parlimennya seramai 30 orang.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, ketika ini Umno masih boleh bertahan berdasarkan jumlah kerusi Ahli Parlimen mereka masih lebih 30 kerusi.

Beliau berkata, tindakan lompat parti dilakukan oleh pemimpin sahaja, tetapi tidak diikuti oleh akar umbi.

“Sokongan akar umbi masih kuat. Itu penting. Jika penghijrahan itu diikuti akar umbi, maka ia akan timbulkan masalah kepada Umno.

“Kalau lihat di Sabah, ia bukanlah satu perkara yang menghairankan, tetapi di Semenanjung perkara ini jarang berlaku atau tidak berlaku, terutama yang melibatkan Umno,” katanya kepada FMT.

Azmi juga berkata, keputusan Umno “memindahkan” kuasa presiden kepada Mohamad Hasan memberi nafas dan keyakinan baru kepada ahli parti itu.

“Langkah itu juga dilihat bertujuan menyelamatkan Umno, bgaimanapun yang mencacatkan parti itu ialah pemimpin yang mempunyai liabiliti rasuah atau yang masih dalam pertuduhan di mahkamah.

“Mohamad Hasan belum lagi dikaitkan rasuah dan amat cocok untuk era Umno baru. Ini kerana Umno ditolak sebab pemimpin yang rasuah,” katanya.

Setakat ini seramai 17 Ahli Parlimen Umno mengumumkan keluar parti sejak kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 9 Mei lalu.

Antara nama besar terbabit ialah 4 bekas menteri kanan era kerajaan BN iaitu Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Empat tokoh itu masing-masing pernah menerajui portfolio Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri, Kementerian Luar, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Keputusan pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei menyaksikan BN tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya hanya 79 berbanding 133 pada pilihan raya umum ke-13.

Umno, yang menjadi tunjang kepada BN, hilang 34 kerusi apabila hanya menang 54 kerusi, berbanding 88 kerusi pada sebelum itu.

Senarai Ahli Parlimen Umno yang mengumumkan keluar parti selepas pilihan raya bermula 24 Jun lalu ialah Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Pada 26 Jun, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan keluar Umno.

Ini diikuti pada 1 Julai lalu oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Pada 18 Sept, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula keluar Umno. Selepas hampir sebulan kemudian, beliau mengumumkan penyertaan ke dalam PPBM.

Selepas itu, 2 Ahli Parlimen Umno Sabah turut mengumumkan keluar parti iaitu pada 19 Sept lalu, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman diikuti pada 11 Okt oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli. Beliau bagaimanapun menyertai Warisan.

2 bulan kemudian, pada 12 Dis, 5 Ahli Parlimen Umno Sabah keluar parti, iaitu Ahli Parlimen Kudat, Abd Rahim Bakri; Ahli Parlimen Beaufort, Azizah Mohd Dun; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris; Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee dan aAhli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa.

2 hari kemudian pada 14 Dis, 6 lagi Ahli Parlimen Umno keluar parti, iaitu Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh; aAhli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Zahid umum serah tugas kepada Mohamad Hasan

Pada 18 Dis, Zahid mengumumkan menyerahkan tugas beliau sebagai presiden Umno kepada timbalannya Mohamad Hasan, ditengah-tengah desakan dalaman parti yang mahu beliau meletakn jawatan.

Perkembangan ini menyusuli desakan daripada beberapa pihak yang mahu beliau berundur selepas beberapa pemimpin negeri dan wakil rakyat meninggalkan Umno.

Terdahulu, sayap Pemuda parti itu menyarankan supaya Zahid bercuti sehingga kes perbicaraan rasuahnya selesai. Beliau berhadapan 46 pertuduhan di mahkamah, iaitu 11 pertuduhan pecah amanah, 27 pengubahan wang haram dan 8 pertuduhan rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dilaporkan sedang menyiasat aduan salah laku dalam pemilihan presiden Umno pada Jun.

Setakat ini, baki Ahli Parlimen yang kekal bersama Umno ialah 37 orang daripada 54 yang menang dalam pilihan raya umum.

Pada 21 Dis, Mohamad Hasan yang memangku tugas presiden Umno mengumumkan hala tuju baru parti itu.

Merangkumi 3 perkara asas, beliau mengumumkan penyusunan semula dan penstrukturan operasi, penyusunan dan pengaturan strategi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15, dan pemerkasaan parti itu sebagai pembangkang yang berkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.