Wanita mati lemas akibat mulut disumbat kain

Wanita mati lemas akibat mulut disumbat kain

Mayat seorang wanita ditemui mati dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat dan mulut disumbat kain.

KUALA LUMPUR:
Bedah siasat ke atas wanita warga Indonesia yang ditemui mati di sebuah rumah di Jalan Reko, Kajang pada Isnin, mendapati mangsa lemas akibat mulutnya disumbat kain.

Timbalan Ketua Polis Kajang, Mohd Sabri Abdullah berkata hasil bedah siasat juga mendapati tiada kecederaan lain dikesan pada tubuh badan mangsa.

“Punca kematian adalah ‘asphyxia due to smothering’. Pernafasan terhenti akibat kain yang disumbat ke dalam mulut dan tiada kesan cekik atau patah di bahagian leher,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat pekerja sebuah kedai perabot berusia lingkungan 30-an itu ditemui dalam keadaan separuh bogel, tangan diikat dan mulut disumbat kain oleh majikannya yang pergi ke rumah mangsa selepas dia tidak hadir bekerja selama 3 hari.

Mohd Sabri berkata orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Ismail Ahmad menerusi talian 019-2306107 untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.