Pemimpin Sabah beri Putrajaya peluang kedua perbetul MA63

Pemimpin Sabah beri Putrajaya peluang kedua perbetul MA63

Referendum boleh dilakukan tanpa persetujuan Parlimen kerana penduduk pribumi mempunyai hak penentuan kendiri di bawah PBB.

Jeffrey Kitingan berkata, beliau berharap perbincangan Jawatankuasa Khas Kabinet berhubung perjanjian itu akan menatijahkan sesuatu yang positif. (Bernama Pic)
KOTA KINABALU:
Pemimpin pembangkang Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan percaya Putrajaya berhak diberikan peluang kedua bagi membuktikan keikhlasan dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu berkata, beliau berharap perbincangan Jawatankuasa Khas Kabinet berhubungan perjanjian tersebut akan menatijahkan sesuatu yang positif, termasuk menjelaskan tentang kuasa yng diberikan kepada Sabah dan Sarawak di bawah persekutuan Malaysia.

Jawatankuasa itu dijadual membentangkan laporan akhirnya pada suku kedua tahun depan.

“Pada masa sama, saya berharap ia bukanlah sekadar permainan politik di pihak mereka. Mereka telah pun mengadakan mesyuarat pertama, jadi wajar kita berikan mereka masa.

“Jika tiada apa-apa berlaku, maka Sabah dan Sarawak perlu mengambil langkah seterusnya bagi mendapatkan semula hak kami,” katanya kepada FMT.

Langkah itu katanya, termasuklah mengadakan referendum, tetapi tidak sama dengan referendum Brexit pada 2016 bagi menentukan pendirian rakyat tentang isu tu.

Beliau menegaskan referendum tersebut boleh dilakukan tanpa persetujuan Parlimen kerana penduduk pribumi mempunyai hak penentuan kendiri di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Tambahan lagi kita tidak menyertai Malaysia, sebaliknya kita membentuknya. Singapura menarik diri daripada Malaysia, kita pun boleh. Kita tidak perlu takut untuk menyebut perkara ini kerana ia merupakan hak kita untuk menyebutnya dalam keadaan tertentu.

“Misalnya apabila sesuatu tidak berjalan seperti yang sepatutnya, apabila hak kita tidak dihormati dan perjanjian itu tidak dilaksanakan,” katanya.

Merujuk kepada kenyataan terdahulu oleh aktivis MA63, Zainnal Ajamain yang berkata, sejak 1963, telah berlaku 50 pelanggaran terhadap perjanjian itu, Jeffrey berkata, di bawah undang-undang biasa, pelanggaran sedemikian sudah membatalkan MA63.

Selain itu kata beliau, bukan sahaja MA63 tidak dipatuhi, kerajaan pusat juga menggunakan pelbagai taktik untuk menghalang orang ramai bercakap mengenai perjanjian berkenaan.

Ini termasuklah penggunaan undang-undang menekan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan.

Bagaimanapun Jefferey berkata, beliau berhadap Dr Mahathir Mohamad, yang kini menjadi perdana menteri buat kali kedua, akan memperbetulkan kesalahan yang pernah dilakukan kerajaan sebelum ini, termasuk memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi setaraf seperti dijanjikan.

“Bagi saya, ia mudah. Saya tidak kisah dipenjarakan sekali lagi kerana menyebut perkara yang perlu disebut. Sama ada mereka memperbetulkannya atau Malaysia bubar. Anda betulkannya atau kami keluar. Anda tidak boleh berpura-pura bahawa MA63 tidak wujud,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Datuk James Ligunjang, yang juga merupakan setiausaha sebuah forum untuk membincangkan isu serta hak Sabah, iaitu MySabah berkata, pelaksanaan penuh terma yang terkandung dalam MA63 adalah kunci bagi kemajuan Sabah kerana perjanjian tersebut menjamin negeri itu tidak dibebankan dengan masalah kekurangan dana.

Beliau berkata, di bawah perjanjian tersebut dan juga Perlembagaan Persekutuan, Sabah berhak mendapat 40% daripada hasil bersih yang didapati oleh kerajaan persekutuan dari Sabah, dan wang itu bertujuan membiayai pembangunan di negeri itu.

Malangnya kata beliau, peruntukan penting itu tidak terlaksana sepenuhnya menyebabkan Sabah tertinggal dari segi pembangunan.

Katanya, sebelum Malaysia diwujudkan pada 1963, Sabah dan Sarawak adalah setaraf dengan Brunei dari segi pembangunan, tetapi kini kedua-dua negeri itu tertinggal jauh di belakang dengan kemiskinan menjadi isu utama, sedangkan Brunei berkembang menjadi antara negara terkaya di dunia.

“Kenapa ini berlaku dalam keadaan Sabah dan Sarawak jauh lebih kaya daripada Brunei dari sudut sumber alamnya?

“Jawapannya mudah, MA63 tidak dilaksanakan dengan ikhlas oleh Malaya yang menguasai kerajaan persekutuan dari tarikh perjanjian itu ditanda tangani sehingga sekarang,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Sabah dan Sarawak gagal untuk “menuntut secara tegas” pelaksanaan terma yang terkandung dalam MA63.

Beliau menyalahkan persaingan politik yang tidak berkesudahan dalam kalangan pemimpin di Sabah dan Sarawak yang membolehkan parti politik dari Semenanjung terlibat dalam proses politik negeri berkenaan.

“Anda tidak boleh dan tidak akan berjaya merundingkan pelaksanaan MA63 jika pemimpin politik dan rakyat Sabah dan Sarawak berdiri di belakang pemimpin politik yang mewakili parti dari Malaya.

“Ia adalah sesuatu yang gagal kita pelajari sehingga merugikan generasi akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.