Bos imigresen bersara dan dilantik ketuai Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan

Bos imigresen bersara dan dilantik ketuai Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan

Mustafar Ali berkata, NFCC akan ditubuhkan selepas penggubalan akta selesai bagi badan anti-rasuah itu.

Mustafar Ali (tengah, bercermin mata) memeriksa perbarisan sempena majlis perpisahannya sebagai ketua pengarah Imigresen di Putrajaya, hari ini.
PUTRAJAYA:
Datuk Seri Mustafar Ali yang bersara daripada jawatan ketua pengarah Imigresen hari ini, dilantik mengetuai badan anti-rasuah, Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Katanya, beliau menerima surat pelantikan hari ini, di mana Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memintanya meneruskan perkhidmatan di sektor awam dengan menjadi ketua eksekutif NFCC.

Beliau berkata, pihaknya akan memulakan kerja secara rasmi, apabila NFCC ditubuhkan sejurus selepas akta digubal bagi badan anti-rasuah itu.

“Insya Allah, saya akan memulakan tugas baru ini pada 2 Januari,” katanya selepas Majlis Amanat dan Paluan Berundur Ketua Pengarah Imigresen di ibu pejabat agensi itu, hari ini.

“Amanah ini akan saya pikul sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat kerajaan ke arah mengubah lanskap baru pentadbiran negara.”

NFCC yang dijangka beroperasi sepenuhnya pertengahan tahun depan, menempatkan pejabatnya di Kompleks D, Putrajaya.

Mustafar berkata, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman akan memangku jawatan ditinggalkannya sehingga arahan lanjut Kementerian Dalam Negeri.

Mustafar berkhidmat kira-kira 30 tahun dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan jawatan terakhir ialah timbalan ketua pesuruhjaya, sebelum beliau dipindahkan ke Jabatan Imigresen mulai 1 Ogos 2016.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-rasuah (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dilaporkan berkata, kerajaan bersetuju menubuhkan NFCC dalam usaha menangani kegiatan pengubahan wang haram.

NFCC antara 61 inisiatif diputuskan Jawatankuasa Kabinet mengenai Anti-rasuah sejak Jun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.