Bapa curah air mendidih ke badan anak 8 tahun

Bapa curah air mendidih ke badan anak 8 tahun

Jiran lapor pihak berkuasa selepas dengar jeritan di flat

GEORGE TOWN: Hanya kerana RM10, seorang ayah sanggup mencurah air mendidih ke badan anak berumur 8 tahun di rumah mereka di sebuah flat di Air Itam Khamis lalu.

Menurut polis, lelaki berusia 41 tahun itu naik marah apabila mendapat tahu anak perempuannya mengambil duit dari dompet ibunya tanpa izin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Che Zaimani Che Awang memberitahu, jiran yang mendengar jeritan kanak-kanak itu memberitahu seorang rakan tinggal berdekatan.

Katanya, rakan tersebut pergi ke flat itu dan mendapati sebelah kanan badan kanak-kanak tahun 2 itu melecur.

Beliau berkata, lelaki itu membawa budak tersebut ke Balai Polis Air Itam untuk membuat aduan, sebelum membawanya ke Hospital Pulau Pinang.

Kanak-kanak tersebut dalam keadaan stabil dan boleh bercakap.

Che Zaimani berkata, menurut pengadu, kanak-kanak tersebut bersama 3 beradiknya sering kelihatan merayau-rayau di kawasan flat berkenaan.

Katanya, ibu bapa mereka sudah meninggalkan rumah itu dan belum dapat dikesan.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mendera yang membawa hukuman penjara maksima 10 tahun dan denda RM20,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.