Umno nafi guna sentimen kaum, agama raih sokongan selepas kalah PRU

Umno nafi guna sentimen kaum, agama raih sokongan selepas kalah PRU

Umno konsisten dalam pendiriannya berkaitan Islam dan bangsa Melayu.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khalid Nordin berkata, ancaman terhadap kedudukan agama Islam dan nasib bangsa Melayu bukanlah sebuah cerita dongeng. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin menolak dakwaan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk meraih sokongan setelah kalah dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Mohamed Khalid berkata, Umno konsisten dalam pendiriannya berkaitan Islam dan bangsa Melayu dan semua pihak boleh menyemak perkara ini memandangkan tidak ada pendiriannya yang berdolak dalik atau bertukar.

Bagaimanapun kata beliau, apabila PPBM tidak mampu berbuat apa-apa melainkan membisu dan menurut tekanan kelompok liberal dalam PH, Umno sudah pasti tidak akan membutakan mata sahaja terhadap ancaman itu.

“Akan tetapi kini ada ancaman sistematik yang bertopengkan ‘kebebasan’ terhadap kepentingan bangsa Melayu dan Islam. Mungkin bukan daripada PPBM sendiri, tetapi rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan (PH) yang sangat alah dengan agenda PPBM dan Islam.

“Umno percaya lambat laun semua ini akan meruntuhkan sistem kehidupan dan norma fabrik masyarakat Melayu, jika tidak dikawal dan disanggah dari awak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bekas menteri besar Johor itu, yang memberi respons terhadap Muhyiddin ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan PPBM di Putrajaya pagi ini, berkata, ancaman terhadap kedudukan agama Islam dan nasib bangsa Melayu bukanlah sebuah cerita dongeng.

“Masakan sebuah pakatan yang sentiasa berprasangka buruk antara satu sama lain dan tidak senada dalam menterjemahkan Perlembagaan Persekutuan boleh menjaga hak, keistimewaan dan membela nasib bangsa Melayu.

Muhyiddin dalam ucapannya antara lain berkata, dalam semangat Malaysia Baru, negara mesti mengiktiraf penglibatan semua kaum dalam pelbagai sektor ekonomi secara adil kerana ia penting bagi wewujudkan kemakmuran bersama.

“Kita mahu orang Melayu maju dan semua kaum lain juga maju. Kita tidak akan merampas apa-apa hak daripada kaum lain untuk kita berjaya,” katanya.

“Bagi saya, inilah ideologi PPBM dalam perjuangan kita memartabatkan kedudukan orang Melayu dan Bumiputera. Kita tidak menyimpan prasangka terhadap kaum lain. Kita yakin dengan potensi yang ada pada diri kita sendiri,” katanya lagi.

Mohamed Khalid berkata, PPBM merupakan sebuah parti yang bercelaru, keliru dan buntu kerana tidak konsisten dalam ideologi mereka.

“Selepas dikritik kerana tidak serius dengan agenda Bumiputera, kini mereka adalah pembela agenda Melayu pula. Sebenarnya PPBM dibangunkan tanpa sebarang pasak ideologi,” katanya.

“Umno tidak apologetik dalam pendiriannya terhadap kedudukan Islam dan bangsa Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.