Mereka bukan musuh, PKR Perak seru Azmin muhasabah diri

Mereka bukan musuh, PKR Perak seru Azmin muhasabah diri

Pengerusi Fashash Wafa Salvador mengingatkan Azmin bahawa mereka yang dilantik ke MPP adalah rakan seperjuangan.

IPOH:
PKR Perak menyeru Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar bermuhasabah diri dan menerima pelantikan individu dalam majlis pimpinan pusat kerana mereka bukan musuh parti atau daripada kalangan ahli Barisan Nasional dan Umno.

Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata mereka yang dilantik merupakan rakan seperjuangan dalam parti dan perbezaan pendapat tidak harus dijadikan permusuhan kekal.

“Kekuatan parti kita dalam Pakatan Harapan harus dikekalkan dengan cara merapatkan saf-saf di dalam parti,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau mengulas kenyataan Azmin yang meminta Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya meneliti semula pelantikan jawatan utama kepimpinan parti.

Menurut Azmin, pelantikan yang diumumkan tidak mencerminkan prinsip adil dan saksama terhadap aspirasi anggota serta tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan.

Semalam, Anwar dalam kenyataan mengumumkan pelantikan bekas Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli di samping 2 lagi nama sebagai naib presiden parti dan beberapa pelantikan bagi jawatan lain dalam MPP PKR.

Turut diumum pelantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebagai setiausaha agung.

Farhash berkata keputusan presiden tepat dalam menjadikan parti lebih inklusif serta dapat memastikan kesinambungan di dalam parti.

Katanya pemilihan lepas menyaksikan banyak jawatan dimenangi pasukan Azmin dan dengan kemasukan lantikan baru itu keseimbangan serta perpaduan dalam kalangan ahli parti dapat dikekalkan.

“Pemilihan parti satu amalan demokrasi dan ia akan melihat satu ‘natural death’ jika kita mula menghukum pesaing kita yang juga rakan seperjuangan dalam parti.

“Keputusan pemilihan tidak boleh dijadikan sebagai hukuman dan pengukur petunjuk prestasi utama (KPI) individu yang dilantik,” katanya.

Farhash berkata PKR Perak secara konsensus berpendapat keputusan Anwar tidak menjerumus parti ke arah keterlaluan berpolitik dan meminta Azmin mengkaji semula kenyataannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.