SPR umum Sivarraajh tak boleh jadi calon

SPR umum Sivarraajh tak boleh jadi calon

C Sivarraajh juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya.

Datuk C Sivarraajh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan ahli politik MIC, Datuk C Sivarraajh tidak boleh bertanding pada pilihan raya kecil Cameron Highlands yang ditetapkan 26 Januari 2019.

Beliau yang memenangi kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu tidak boleh dipilih, tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih, dan tidak boleh mengundi dalam mana-mana pilihan raya dalam tempoh 5 tahun dari 13 Disember 2018.

“SPR dengan ini akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya seperti mana yang diperuntukan di bawah akta dan peraturan berkaitan pilihan raya yang sedia ada,” kata Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Sivarraajh bulan lepas selepas mendapati calon DAP, M Manogaran berjaya membuktikan wang diberi kepada pengundi semasa berkempen.

Ahli politik MIC itu membuat keputusan untuk tidak mencabar keputusan mahkamah dan menyatakan hasrat bertanding pada pilihan raya kecil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.