
Timbalan presiden Umno itu membidas kerajaan kerana cuba memesongkan pandangan rakyat, dengan menunjukkan seakan-akan kematian Adib terbela “walhal pembunuh Adib masih bebas”.
Beliau menggesa polis dan Pejabat Peguam Negara menyelesaikan siasatan kes Adib dengan segera dan tegas bagi menjawab 2 perkara, iaitu sama ada Adib dibunuh dan siapa tertuduhnya.
“Bukan menggunakan prosiding inkues kematian oleh sebuah Mahkamah Koroner bagi tujuan bagaimana Adib meninggal dunia dan bukan mencari pembunuhnya,” kata Mohamad Hasan dalam kenyataan.
Beliau mengingatkan kerajaan bahawa rakyat sedang melihat sama ada ia akan mematuhi kedaulatan undang-undang atau hanya menggunakan prosedur bagi melengah-lengahkan keadilan.
Beliau berkata inkues kematian diarahkan ketika polis sedang menyiasat kes tersebut sebagai kes bunuh bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Sudah tentu tindakan menyiasat punca kematian dan menyiasat siapa yang menyebabkan kematian Adib merupakan objektif yang berlainan,” katanya.
“Saya amat simpati dengan keluarga Adib yang sehingga kini tertanya-tanya siapakah pembunuh anak mereka,” katanya.