Bagaimana Fama boleh bantu penoreh getah pada waktu sukar

Bagaimana Fama boleh bantu penoreh getah pada waktu sukar

Penoreh getah perlu digalakkan menternak lembu dan kambing serta menanam pokok buah-buahan berdasarkan kontrak dengan Fama.

Harga getah yang rendah memaksa ramai penoreh getah mencari sumber pendapatan lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) boleh memainkan peranan dalam membantu penoreh getah yang kini menghadapi masa sukar berikutan harga getah yang rendah, kata seorang pemimpin Parti Sosialis Malaysia.

Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, penoreh getah perlu digalakkan menternak lembu dan kambing serta menanam pokok buah-buahan, dengan Fama berperanan membeli susu, daging dan buah-buahan yang dihasilkan berdasarkan skim kontrak ke hadapan dengan penoreh.

“Fama boleh mengikat kontrak dengan penoreh untuk membeli jumlah tertentu buah-buahan pada harga tertentu pada masa depan,” katanya kepada FMT.

Katanya, Fama juga boleh memantau pasaran dan memberi nasihat yang bersesuaian.

“Jika Fama fikir hasil rambutan terlalu banyak, jadi mereka boleh meminta pekebun kecil tanam manggis, misalnya.”

Produk ini boleh diproses, dikeringkan atau dijadikan jus atau sirap dan dipasarkan ke seluruh dunia,” katanya.

Bagaimanapun kata Jeyakumar, bagi mencapai matlamat itu, Fama memerlukan pasukan pemasaran yang berkesan untuk menjual produk yang dihasilkan.

Fama juga boleh membeli hasil tenusu dan daging daripada mereka,” katanya, dan menambah bahawa negara hanya menghasilkan 15% keperluan susu dan 20% daging kambing.

“Cara ini boleh membantu meningkatkan pengeluaran hasil pertanian tempatan dan pada waktu sama menolong penoreh getah kita,” katanya.

Beliau berkata, terdapat antara 200,000 ke 300,000 penoreh getah dengan keluasan kebun dari 3 ke 5 ekar dan sebilangan mereka memperoleh pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

Katanya, sesetengah penoreh berminat menanam pokok buah-buahan sebagai pendapatan sampingan.

Sebilangan mereka pernah mencubanya, seperti saranan kerajaan supaya menanam langsat atau duku.

“Tetapi buah-buahan ini bermusim dan megeluarkan hasil pada waktu yang sama menyebabkan ia rosak tanpa pembeli yang sewajarnya,” kata beliau.

Dengan skim “kontrak ke hadapan”, petani akan tahu bahawa jumlah tertentu keluara mereka boleh dijual kepada Fama. Cara ini juga membolehkan mereka merancang pengeluaran,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.