Azwanddin direman 4 hari, disyaki sebut ‘serang’ balai polis

Azwanddin direman 4 hari, disyaki sebut ‘serang’ balai polis

Kena siasat maksudnya kerana tafsirannya luas, kata peguamnya.

KLANG: Presiden  Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah direman 4 hari atas ucapannya yang berunsur provokasi dalam himpunan Selasa lalu.

Peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, Mahkamah Majistret Klang membenarkan permohonan reman itu bermula hari ini dan akan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Polis juga akan siasat beliau di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas kenyataan yang dikeluarkan dalam perhimpunan Selasa lalu.

“Saya dimaklumkan siasatan dilakukan kerana beliau ada mengeluarkan perkataan ‘serang’. Tetapi kena lihat apa maksud dan niat perkataan itu memandangkan ia mempunyai tafsiran luas,” katanya di luar Mahkamah Klang.

Mohd Imran berkata, terdapat 8 laporan polis yang dibuat oleh orang awam, termasuk laporan polis yang dibuat pegawai IPD Klang berhubung kenyataannya itu.

Azwanddin tiba di mahkamah tepat jam 9 pagi, dengan berpakaian baju biru dan tangannya digari.

Mohd Imran berkata, sehingga hari ini pihaknya belum menerima notis saman, yang difailkan Menteri Industri Utama Teresa Kok semalam atas dakwaan menfitnah dilakukan Azwanddin.

“Sama ada pihak JMM atau saya sendiri masih belum dimaklumkan mengenai saman berkenaan atau wakil peguam beliau. Kita harap penahanan Azwanddin akan membuka mata masyarakat,” katanya.

Mohd Imran berkata, Tidak seharusnya Azwanddin sahaja disiasat. Beberapa pihak lain terlibat dan dikaitkan dengan himpunan berkenaan perlu disiasat.

“Kaji punca keresahan awam ini berlaku. Saya yakin ini bukannya disebabkan ucapannya tetapi ia tercetus sejak awal lagi, apabila isu (membabitkan kematian anggota bomba) ini berlaku.

“Jangan hanya tumpu kepada Azwanddin, tumpu juga kepada pihak lain yang masih bebas,” katanya.

Semalam, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad mengesahkan Azwanddin ditahan berhubung kenyataannya pada Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib dan Desakan Pecat P Waytha Moorthy.

Azwanddin ditahan pada jam 2.40 petang semalam di Kompleks Keramat Mall, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Azwanddin dalam ucapannya didakwa menghina individu dan mengeluarkan kenyataan akan “serang” balai polis jika pemaju dalam isu kuil itu tidak ditangkap.

Dalam perhimpunan pada Selasa lalu, lebih 1,000 berhimpun menuntut keadilan untuk Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia kerana cedera dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Peserta himpunan turut mengemukakan 7 tuntutan kepada kerajaan, termasuk memecat Waytha, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Exco Selangor, V Ganabatirau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.