Pendapatan muzium turun lebih 70% akibat Covid-19, kata Nancy

Pendapatan muzium turun lebih 70% akibat Covid-19, kata Nancy

Nancy Shukri berkata, Jabatan Muzium berjaya mengutip RM3.708 juta pada 2019, meningkat sebanyak 42.5% dari tahun sebelumnya, dengan jumlah pengunjung mencecah 2.782 juta orang.

Nancy Shukri melancarkan Pameran Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi & Pelancaran Kempen Derma Artifak oleh Jabatan Muzium hari ini. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pendapatan sektor muzium menurun dengan jumlah pengunjung merosot sehingga melebihi 70% pada 2020 dan 2021 susulan pandemik Covid-19, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri.

Sehubungan itu, katanya, Pameran Keajaiban Taksidermi: Kehidupan Abadi & Pelancaran Kempen Derma Artifak oleh Jabatan Muzium (JMM) diadakan bagi menggalakkan orang ramai kembali melawat muzium sejajar slogan kementerian itu “Coming Back Stronger”.

“Ia bagi memastikan sektor pelancongan dan kebudayaan dapat pulih dan bangkit semula selepas pandemik Covid-19. Muzium antara produk pelancongan budaya yang berpotensi menjana ekonomi negara.

“Pada 2019, JMM menerusi 22 muzium dan pamerannya berjaya mengutip hasil pendapatan RM3.708 juta, meningkat sebanyak 42.5% dari tahun sebelumnya. Kenaikan ini selari jumlah pengunjung muzium pada tahun itu yang mencecah 2.782 juta orang,” katanya ketika melancarkan program itu hari ini.

Taksidermi merupakan bidang kepakaran muzium khusus dalam mengawet pelbagai jenis haiwan untuk dipamerkan bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan.

Nancy berkata, sebanyak 126 koleksi fauna terpilih dipamerkan melibatkan spesimen mamalia, reptilia, avian, amfibia, ikan, skeleton dan tengkorak gajah Asia serta tarikan utama, seekor badak Sumatera berusia 120 tahun yang diisytiharkan pupus di Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, sebagai menteri yang bertanggungjawab, beliau akan terus menyokong usaha JMM membangunkan muzium sejarah alam sejak diluluskan Kabinet pada 1989 supaya tidak ketinggalan dengan negara serantau seperti Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Pada majlis sama, Nancy turut melancarkan Kempen Derma Koleksi (KDK) anjuran JMM yang menyasarkan masyarakat menyumbang artifak persendirian yang mempunyai nilai sejarah, seni, budaya dan alam semula jadi kepada pihak muzium.

“Usaha menyimpan dan melindungi artifak bernilai tinggi kepada negara daripada risiko kehilangan, kerosakan dan kemusnahan selari dengan tiga teras Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), iaitu pemuliharaan warisan, pembangunan dan pengembangan serta pemerkasaan budaya.”

Sementara itu, Ketua Pengarah JMM, Kamarul Baharin A Kassim berkata, dalam tempoh lima tahun lepas, JMM menerima 1,120 koleksi sumbangan orang awam dan KDK dijadualkan untuk program jelajah ke Kelantan, Kedah dan Perak pada tahun depan.

Beliau berkata, penderma koleksi layak mendapat inisiatif pengecualian cukai berdasarkan pengesahan nilai koleksi Ketua Pengarah JMM, sepertimana yang diperuntukkan menerusi Akta Cukai Pendapatan 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.