
Beliau menyangkal dakwaan pengguna mungkin berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel menjelang 1 Januari ini kerana katanya, bahan api petrol dan diesel diwartakan barang kawalan berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sejak 21 Jun 1975.
“Oleh itu, kerajaan akan memastikan pembekalan barang berjadual tersebut sentiasa ada di pasaran dan mudah diperolehi pengguna setiap masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera, Datuk Abu Samah Bachik mendakwa pengguna mungkin berdepan masalah mendapatkan petrol dan diesel, apabila semua tangki penyimpanan di stesen minyak dijangka kering menjelang 1 Januari depan.
Beliau dilaporkan berkata, ia berpunca daripada keengganan pengusaha stesen minyak menambah simpanan dalam tangki menjelang hujung bulan ini.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini menerusi kenyataan dilaporkan berkata, kerajaan akan menyelaraskan harga runcit produk petroleum, termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari ini.
Sehubungan itu, Jamil berkata, sebagai pemegang lesen runcit petrol dan bahan api diesel di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, pengusaha stesen minyak diwajibkan mematuhi syarat di dalam lesen, antaranya bertanggungjawab memastikan bekalan petrol dan bahan api diesel di premis sentiasa ada serta cukup untuk jualan harian.
“Syarat lain ialah pemegang lesen tidak dibenarkan menutup stesen petrol/bahan api diesel atau memberhentikan penjualan bahan api di stesennya tanpa kebenaran.
“Kegagalan pengusaha mematuhi arahan ini atau apa-apa syarat yang terkandung di dalam lesen runcit barang kawalan yang dikeluarkan merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan 1974.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, atau denda RM3 juta bagi kesalahan ke-2 dan penjara sehingga 5 tahun atau kedua-duanya.”
Justeru, Jamil menegaskan pegawai penguatkuasaan KPDNHEP akan membuat pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa ke atas stesen menjual bahan api bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk kegunaan orang ramai.
Sekiranya pengguna mendapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang atau peraturan berkenaan, mereka boleh membuat aduan melalui portal e-aduan KPDNHEP (https://eaduan.kpdnkk.gov.my) atau e-mel [email protected] atau melalui Aplikasi Ez ADU KPDNHEP (aplikasi telefon pintar) atau whatsApp ke 019-2794317.