
Kumpulan itu mendakwa mereka diberikan kerja berlainan dan ada yang “disejukbekukan” kerana penyelia “menunggu arahan lanjut” untuk menentukan apa yang perlu dilakukan terhadap mereka.
Seorang penjawat awam yang mendakwa jurucakap kumpulan itu memberitahu FMT, selepas dibuang Intan secara tiba-tiba, mereka “dipulaukan” dan dilayan seperti “bekas banduan” di tempat kerja.
“Keadaan kami macam banduan baru dibebaskan dan sedang mencari kehidupan baru. Majikan akan fikir 2 kali untuk memberi kerja kepada bekas banduan.
“Jadi, keadaan kami tiada bezanya kerana surat (dibuang Intan) itu memberi gambaran kumpulan kami buruk dari segi moral sepanjang kursus 8 bulan itu.”
Lima puluh dua penjawat awam itu sebahagian daripada 86 peserta dipilih mengikuti kursus Intan dan mereka dijadualkan naik pangkat sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) selepas tamat kursus pada 7 Februari depan.
Tetapi, mereka digugurkan 30 November lalu kerana didakwa gagal mendapat gred kelulusan A- untuk modul “sahsiah”.
Kumpulan yang dikenali sebagai G52 itu dilaporkan berkata, markah kelulusan dinaikkan 3 hari sebelum mereka dibuang Intan.
Hari ini, jurucakap G52 itu mendakwa ramai di antara mereka menolak tawaran kenaikan pangkat di tempat kerja lama ketika menjalani kursus di Intan.
Beliau berkata, sebahagian daripada mereka yang merupakan pekerja kontrak pula tiada pekerjaan sekarang kerana perlu meletak jawatan sebelum menyertai kursus Intan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan bekas pekerja kontrak tertekan kerana tidak mampu menyara kehidupan keluarga.
“Pemecatan terburu-buru dan tidak adil ini mengubah kehidupan 52 pegawai. Hasil daripada pengguguran itu memberi kesan negatif kepada mereka.
“Perkhidmatan kerajaan terkenal dengan ketidakcekapannya. Dengan respons perlahan atau langsung tiada respons daripada Intan, imejnya sudah terjejas,” katanya sambil memaklumkan kumpulan itu sudah merayu kepada Intan untuk mempertimbangkan kedudukan mereka.