
Selepas dimaklumkan oleh polis berhubung penahanan PTD itu, katanya, Unit Integriti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) segera memulakan siasatan dalaman ke arah tindakan tatatertib mengikut ketetapan peraturan perkhidmatan.
“KPT menegaskan tiada sesiapa dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola, dan sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan Unit Integriti serta kerjasama dengan pihak berkuasa.
“Sebagai timbalan menteri, saya menghormati proses siasatan sedang berjalan dan menyeru semua pihak tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Sabtu lalu, 201 lelaki yang juga pengunjung sebuah pusat kesihatan di Chow Kit ditahan selepas disyaki terbabit aktiviti tidak bermoral.
Daripada 201 individu itu, 17 orang ialah penjawat awam membabitkan doktor bedah, timbalan pendakwa raya, PTD, guru dan pegawai agensi penguatkuasaan.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohd Azani Omar dilaporkan berkata, premis yang disyaki beroperasi setiap hari sejak lapan hingga 10 bulan lalu itu, dipercayai dijadikan pusat bagi golongan lelaki bertemu dan bertukar pasangan bagi melakukan perbuatan seksual songsang.
Ahad lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus dilaporkan berkata, 171 lelaki tempatan yang ditahan itu dibebaskan dengan jaminan selepas permohonan reman ke atas mereka ditolak majistret atas alasan lewat dikemukakan.
“Sebab apa (lewat), tangkapan ramai. Proses nak dibuat satu persatu untuk dikelaskan. permohonan reman lambat dibuat dan majistret tolak,” katanya dipetik Berita Harian.