
Sudah pastinya, apabila disebut tentang Hari Krismas, fikiran kita tertangkap kepada hidangan ayam belanda yang diperap dengan pelbagai jenis ramuan sebelum dibakar sebagai hidangan utama sambutan itu.
Menyedari perkara itu, FMT meninjau harga pasaran bagi ayam belanda untuk sambutan perayaan itu.
Seorang penternak ayam belanda berasal dari Muar, yang mahu dikenali sebagai Misri berkata, harga ayam belanda boleh mencecah serendah RM21-RM25 sekilo tanpa diproses. Manakala harga yang disiap proses boleh mencapai RM28-RM35 sekilo mengikut umur.
“Ayam belanda hanya boleh dimakan apabila umurnya mencecah 50 hari ke atas,” katanya kepada FMT.
Katanya, harga ayam belanda untuk hidangan makan malam Hari Krismas boleh mencecah sehingga RM60-RM80 seekor. Namun, rata-rata pelanggannya membeli lebih daripada seekor untuk didangkan kepada ahli keluarga dan tetamu yang hadir.
Berdasarkan maklumat tersebut, sebuah keluarga memerlukan sekurang-kurangnya 2 ekor ayam belanda untuk dihidangkan pada makan malam Hari Krismas dan kepada tetamu yang bertandang.
Perkara itu membawa belanja kepada lebih kurang RM112-RM200 bagi sesebuah keluarga untuk menyediakan hidangan berasaskan ayam belanda.
Wujud persoalan di sini, apakah kemampuan bagi kumpulan masyarakat di negara ini untuk menyediakan menu sempena sambutan Hari Natal?
Bagi menjawab persoalan itu, kami membuat satu tinjauan ke 3 buah rumah mewakili kumpulan B40, M40 dan T20.
Rumah pertama ialah sebuah rumah teres 3 tingkat di Putrajaya. Pemiliknya dikenali sebagai Andrew. Seorang pegawai tinggi di salah sebuah kementerian. Manakala isterinya seorang pensyarah separuh masa di universiti swasta di Nilai. Pendapatan purata isi rumah mereka ialah RM 17,000 sebulan.
Pasangan ini mempunyai 2 orang anak, masing-masing masih bersekolah menengah.
Rumah kedua pula terletak di Gombak, Selangor. Kami memperkenalkan diri kepada pemilik rumah, Sharvin Selvam, seorang pegawai di syarikat periklanan di Kuala Lumpur. Isterinya pula seorang jurujual kereta berjenama di Gombak. Pendapatan purata pasangan itu sebanyak RM4,740 sebulan.
Pasangan ini dikurniakan 4 orang cahaya mata berusia dari 3 hingga 11 tahun.
Rumah terakhir ialah sebuah flat kos rendah di Balakong, Cheras. Rumah yang disewa oleh seorang lelaki berusi 47 tahun, yang mahu dikenali sebagai Teh terletak di tingkat 4 bangunan itu.
Teh bekerja sebagai pemandu lori di sebuah kedai perabot di Seri Kembangan. Isterinya pula mengambil upah mengasuh bayi dan kanak-kanak seramai 2 orang. Purata pendapatan isi rumah mereka berjumlah RM2,700 sebulan.
Selepas mendapat kebenaran, penulis membuka peti sejuk di ketiga-tiga rumah itu untuk menilai kemampuan mereka menyediakan menu Hari Natal.
• Rumah T20
Kami terkejut apabila membuka 2 buah peti sejuk milik Andrew. Di dalamnya hanya ada beberapa botol minuman bergas dan beberapa kotak coklat berjenama.
Selebihnya hanya buah-buahan dan beberapa ramuan untuk masakan. Berbeza dengan satu lagi peti sejuk yang menyimpan barangan basah dan sejuk beku.

Kami terjumpa beberapa bungkusan ikan salmon beku dan 5 paket ayam belanda yang sudah diproses.
Apabila ditanya, adakah kelima-lima ayam belanda itu akan digunakan pada makan malam sambutan Krismas, isteri Andrew menidakkannya.
Jelasnya, beliau, suami dan ahli keluarga yang lain memilih bufet di hotel ternama di Kuala Lumpur sebagai lokasi makan malam Hari Natal.
“Kami juga menempah khas hidangan ayam belanda di hotel tersebut untuk dihidangkan kepada ahli keluarga,” katanya.
Jelasnya, bufet di hotel ternama berdekatan dengan KLCC berharga RM180 sekepala dan RM128 bagi kanak-kanak.

Apabila ditanya, mengapa mereka membeli bekalan ikan salmon dan ayam belanda yang banyak di dalam peti sejuk, Andrew berkata, kesemua itu untuk dihidangkan kepada tetamu yang bertandang ke rumah.
“Krismas memang 25 hari bulan, tapi kawan-kawan ada datang rumah sampai hujung bulan Januari. Jadi, kami beli untuk disimpan buat para tetamu,” katanya.
Mengulas lanjut, Andrew berkata, rata-rata rakannya yang lain juga memilih hidangan bufet di hotel berbanding menikmati makan malam secara tradisi di rumah.
Katanya, cara itu lebih mudah dan lebih mengeratkan hubungan kekeluargaan berbanding makan malam di rumah.
“Apabila makan di rumah, ada orang duduk didapur, anak-anak dalam bilik main telefon, tak turun jumpa orang tua, hanya bersama saudara sebaya sahaja.
“Jika menikmati hidangan di hotel, semua duduk bersama di meja dan menyertai perbualan dengan orang tua. Tiada asing-asing lagi,” katanya.
• Rumah B40
Berbeza pula dengan keluarga Sharvin dan isteri, peti sejuk mereka sudah menyedikan pelbagai jenis barangan untuk digunakan pada makan malam Hari Natal.
Bermula dari minuman beralkohol, coklat berjenama, sehinggalah ke pelbagai jenis ramuan masakan disimpan di dalam peti sejuk.
Di ruangan beku, hanya kelihatan 2 paket ayam belanda. Itupun bukannya yang diproses segar dari penternak. Sebaliknya, Sharvin membeli ayam belanda jenis paket sejuk beku import dari luar negara.
“Harga ni murah sikit, boleh jimat banyak dan senang nak dapat. Jenama ini boleh dijumpai di dalam peti sejuk pasar raya jenama yang sama. Sekilo hanya belas-belas sahaja. Tidak mencecah puluhan ringgit,” katanya.
Kami turut menjumpai beberapa jenis makanan protein yang lain seperti filet ikan dori dan makanan sejuk beku seperti sosej dan bebola ayam berjenama tempatan.

Kata Sharvin, beliau dan pasangan merancang untuk menyediakan ayam belanda bakar, biskut cip coklat dan pasta sebagai menu makan malam. Kami juga ditunjukkan bahan yang diperlukan untuk membuat biskut dan juadah pencuci mulut. Antaranya, mentega, telur, gula, madu, tepung dan coklat cip dan coklat bar.
“Semua yang saya beli untuk makan malam, lebih kurang RM700, tidak termasuk barangan lain seperti perhiasan rumah dan hadiah untuk anak-anak dan keluarga. Jika dicampur, hampir RM3,000 keseluruhannya,” katanya
• Di rumah B40
Keadaan berbeza dengan rumah Teh. Dapurnya dipenuhi dengan kelengkapan asas seperti gula, garam, kicap dan sos cili.
Sejurus dibuka pintu peti sejuk, isinya penuh dengan ramuan masakan harian seperi lada yang sudah dikisar, bawang yang sudah digunakan separuh dan beberapa botol yang diisi air untuk disejukkan.
Tiada yang istimewa. Coklat dan minuman botol juga tidak kelihatan. Apabila dibuka bahagian sejuk beku, terdapat beberapa paket makanan segera seperti sosej, bebola ayam dan yang lain.
Namun, bilangan paketnya agak banyak berbanding yang didapati di rumah Sharvin. Adakah mereka akan hanya menghidangkan makanan goreng seperti sosej sebagai hidangan utama makan malam itu?
Apabila ditanya, Teh memberitahu, isterinya bercadang membuat masakan ala “steamboat” di rumah pada makan malam Hari Natal. Sebab itu, mereka membeli pelbagai jenis bebola ayam dan sosej sebagai persediaan.
Ketika ditanya adakah mereka akan menyediakan hidangan utama seperti nasi atau makanan berat?
Isteri Teh memberitahu, beliau sudah pun membeli kepingan ayam (chicken slices) untuk ditelakkan di dalam spageti karbonara yang akan dimasaknya nanti.
“Saya sudah beli 3 botol sos karbonara dan sepeket spageti yang baru. Sebelum ini pun sudah ada, masih belum habis digunakan,” katanya sambil menyelongkar bahagian sejuk beku dan menunjukkan bungkusan kepingan ayam yang dibelinya.
Teh juga menunjukkan 2 karton air kotak untuk diberikan kepada tetamu yang bertandang. Katanya, membeli air minuman kotak lebih jimat berbanding membancuh air di rumah.
“Bila kamu bancuh, kamu kena beli ais. Satu paket harga RM1.50. Boleh pakai hanya sekali sahaja. Nak simpan, tak muat peti sejuk.
“Jadi lebih baik guna air kotak, simpan di dalam peti bagi sejuk. Bila orang datang, kamu boleh bagi kepada mereka,” katanya.
Keadaan di ketiga-tiga rumah ini sangat berbeza dari aspek persediaan makan malam Hari Natal.
Bermula dari makan malam dengan hidangan spageti karbonara sehingalah makan malam bufet di hotel ternama berharga RM180 sekepala.
Meskipun tinjauan ini tidak memberi gambaran sebenarnya tentang kemampuan kelompok B40,M40 dan T20, namun sekurang-kurangnya, kita boleh menginsafi wujudnya perbezaan yang ketara antara lapisan masyarakat ang berbeza di negara ini.
Sempena dengan sambutan Hari Natal dan tahun baru ini, apa kata kita jengok peti sejuk rakan-rakan dan jiran tetangga. Mungkin keprihatinan kita dapat membantu dan meringankan bebanan mereka.
Jika terdapat apa-apa yang kurang, ayuh sumbangkan sesuatu. Kita boleh lakukannya, kita kan ‘Anak Malaysia.’