Menteri tegaskan industri ‘ambil alih’ majlis gala daripada Tourism Malaysia

Menteri tegaskan industri ‘ambil alih’ majlis gala daripada Tourism Malaysia

Tiong King Sing berkata beliau beri kebenaran kepada penganjur ambil kira ia mampu jimat belanja kerajaan.

tiong king sing
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing, berkata Tourism Malaysia merupakan penganjur asal majlis makan malam gala itu, namun pihak sektor swasta tawar diri ambil alih. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing menegaskan pihak industri mengambil alih penganjuran majlis makan malam gala yang diadakan bersempena dengan Global Travel Meet (GTM) anjuran Tourism Malaysia.

Beliau mengakui bahawa Tourism Malaysia pada awalnya merupakan penganjur, namun pihak sektor swasta melihat wujud peluang untuk memperoleh perjanjian perniagaan yang besar.

“Menyedari peluang tersebut, mereka secara sukarela menawarkan diri mengambil alih dan menganjurkan majlis makan malam gala itu sendiri,” katanya dalam kenyataan ringkas kepada FMT.

Tiong berkata, ketua pengarah Tourism Malaysia telah memohon kelulusannya bagi perubahan berkenaan, dan beliau memberi kebenaran mengambil kira langkah itu juga dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Apabila pihak industri menyatakan minat mereka untuk menganjurkan majlis makan malam gala itu, kami berkata, ‘Kami berbesar hati! Sila teruskannya’.

“Jika mereka sanggup menanggung kos dan membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan, mengapa pula kita tidak harus menyokongnya?”

Semalam, Tiong menafikan penglibatan kementeriannya berhubung dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin, bahawa minuman beralkohol dihidangkan pada satu majlis makan malam anjuran kerajaan, dengan menjelaskan majlis itu sebenarnya dianjurkan pihak industri.

Namun, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, berhujah memandangkan acara itu tertera di laman web rasmi Tourism Malaysia dan dijadualkan sebagai sebahagian program rasmi, kerajaan tetap perlu memikul tanggungjawab.

Bekas menteri, Khairy Jamaluddin, mendakwa Tiong mengelirukan orang ramai menerusi satu hantaran di Instagram, yang memaparkan petikan surat jemputan menunjukkan Tourism Malaysia sebagai pihak penganjur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.