Elak tanam bibit pertentangan kaum, kata PM

Elak tanam bibit pertentangan kaum, kata PM

Semua rakyat Malaysia saling memerlukan dan melengkapi, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam hantaran sempena Hari Natal esok.

ANWAR IBRAHIM
Negara yang beragama dan rencam ras serta budaya, perayaan besar seperti Hari Natal menjadi sumber kekuatan dan perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia, kata Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum di negara ini mesti dielakkan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini sempena Hari Natal esok, Anwar berkata semua rakyat Malaysia saling memerlukan dan melengkapi, terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan.

Beliau berkata Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok.

“… malah mesti dilonjak nilai dan prinsip keadilan sejagat agar menyemangati hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa yang mahukan negara ini di baris depan menjulang masa depan dan maruah bangsa.

“Sering saya tekankan betapa perbedaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan dan keamanan atas dasar dan prinsip hidup berdamping,” kata beliau.

Perdana menteri dalam hantaran sama turut mengucapkan selamat menyambut Hari Natal kepada seluruh penganut Kristian.

“Acara dan perayaan Krismas tanggal 25 Dis saban tahun kembali menjelang dan menceriakan ramai penganut Kristian di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

“Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian, dengan titipan agar luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan,” kata beliau.

Anwar berkata sebagai negara yang beragama dan rencam ras serta budaya, perayaan-perayaan besar seperti Krismas terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan dalam kalangan kaum di Malaysia.

Hari Natal disambut pada 25 Dis setiap tahun oleh penganut Kristian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.