Maghribi: Lagi tangkapan berhubung pembunuhan 2 wanita Scandinavia

Maghribi: Lagi tangkapan berhubung pembunuhan 2 wanita Scandinavia

Louisa Vesterager Jespersen dari Denmark dan Maren Ueland dari Norway ditemui mati pada 17 Dis berhampiran perkampungan Imlil, di kawasan pergunungan Atlas.

Berbanding negara lain di Afrika Utara, Maghribi umumnya terlindung daripada serangan militan. (Gambar Reuters)
RABAT:
19 orang ditahan berikutan pembunuhan 2 wanita Scandinavia minggu lepas di Pergunungan Atlas, Maghribi, menurut sumber keselamatan yang maklum mengenai kes itu.

Mereka yang ditahan termasuklah 4 suspek utama dan 15 lain yang didakwa mempunyai hubungan dengan individu yang disyaki melakukan pembunuhan tersebut, sumber memberitahu Reuters tanpa mendedahkan maklumat lanjut.

Louisa Vesterager Jespersen, 24, dari Denmark dan Maren Ueland, 28, dari Norway ditemui mati pada 17 Dis berhampiran perkampungan Imlil dalam perjalanan ke Toubkal, gunung tertinggi di Afrika Utara dan merupakan destinasi aktiviti berjalan kaki dan memanjat gunung yang popular.

4 suspek utama, berumur antara 25 ke 30 tahun, mengisytiharkan kesetiaan kepada kumpulan Negara Islam dalam satu rakaman video yang dibuat 3 hari sebelum mayat 2 wanita itu ditemui, tanpa mengakui terlebih dahulu bahawa ia mempunyai hubungan dengan mana-mana kumpulan asing, kata jurucakap polis dan risikan domestik, Boubker Sabik kepada saluran TV 2M milik kerajaan, Ahad.

Beliau menyifatkan 4 lelaki itu sebagai “individu terpencil” dan “jenayah itu tidak diselaraskan dengan kumpulan Negara Islam.”

Peralatan elektronik, senapang memburu tanpa lesen, pisau dan bahan yang boleh digunakan untuk membuat bom ditemui dalam serbuan polis.

Berbanding negara lain di Afrika Utara, Maghribi umumnya terlindung daripada serangan militan. Kejadian terakhir berlaku pada Apr 2011, yang menyaksikan 17 terbunuh dalam serangan bom di sebuah restoran di Marrakesh.

Pada 2017 dan 2018, Maghribi berjaya menumpaskan 20 sel militan yang merancang serangan di negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.