
Paduan beras pulut dan santan yang dibakar dalam buluh, serta gandingan daging, rempah dan herba mengikut resipi Nusantara menjadi keharusan setiap kali tiba Hari Natal.
“Kami mesti sediakan lemang, yang dimakan bersama ayam masak merah atau rendang daging,” kata Mariati, yang bertegas mahu pemberita memanggilnya Kak Yah.
“Orang Asli sambut Krismas macam orang Melayu sambut hari raya. Kalau dekat bandar, saya tahu, juadah utama selalunya ayam belanda,” tambahnya sambil tersenyum.
Kak Yah berkata walaupun rutin keagamaan sama seperti penganut Kristian lain, namun komuniti Orang Asli menonjolkan sejarah panjang bangsa itu menerusi makanan, pakaian dan persaudaraan.

“Setiap tahun, kami akan buat persembahan di gereja. Di situ kami akan buat pakaian Orang Asli dan bertukar hadiah,” katanya.
Sambil tertawa dia mengingatkan pemberita bahawa citarasa fesyen anak-anak Orang Asli masa kini sudah tidak banyak beza seperti kaum-kaum lain di bandar.
Katanya lagi, Orang Asli meraikan Krismas yang disambut pada 25 Disember setiap tahun beberapa hari lebih awal berbanding masyarakat lain, dengan pelbagai acara yang disusun dari November lagi.
Ini kerana Orang Asli dari pelbagai kampung dan daerah serata negeri akan berkumpul dan berpesta di satu kampung, sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan Krismas bersama keluarga.
Tahun ini, kampungnya yang agak terpencil di Batu 12, Gombak menjadi “tuan rumah” untuk rombongan Orang Asli dari Rawang, Sungai Buloh, Kuang dan Raub.
“Kami gembira sangat bila dikumpulkan. Kami buat konsert, bertukar-tukar hadiah sesama kami,” katanya, dengan senyuman yang tak pernah lekang dari wajahnya.
“Kalau tahun lepas, kami berkumpul di Raub, kali ini di sini pula. Ini tradisi yang sangat saya suka sebab kami boleh berkumpul sesama kaum kami pada perayaan seperti ini.”
Malangnya, Kak Yah tidak dapat berkongsi gambar-gambar hidangan tradisi dengan pembaca FMT kerana tahun ini dia akan pulang ke kampung suaminya di Perak yang tiada kemudahan internet.
“Bila nak sambut Krismas kita mesti nak pakai yang cantik-cantik kan? Pakaian biasa tetapi yang menarik. Kalau ikut kami, Orang Asli, pakaian bukan nak menunjuk tapi yang penting kami bersama yang lain,” katanya.
Kak Yah memberitahu FMT hanya dia seorang dalam keluarganya yang meraikan Krismas, selepas menganut agama Kristian kerana berkahwin dengan suaminya.
Ahli keluarganya yang lain memilih untuk memeluk Islam, jadi dia tidak meraikan hari kebesaran agamanya bersama mereka.
“Setiap tahun saya akan sambut hari raya Aidilfitri bersama keluarga saya di kampung. Mereka tidak pernah membuang saya, mereka hormati kepercayaan saya. Sekarang saya dah 43 tahun, mereka masih menerima saya,” katanya.