Menteri nafi dakwaan firma guaman ‘anak didiknya’ dilantik ejen di HRDF

Menteri nafi dakwaan firma guaman ‘anak didiknya’ dilantik ejen di HRDF

M Kulasegaran berkata, beliau tidak bertanggungjawab terhadap pelantikan ejen dan operasi harian HRDF.

M Kulasegaran meminta HRDF menyiasat dakwaan firma guaman Vemal Arasan & Associates tidak memenuhi syarat perlu mempunyai seorang rakan kongsi Bumiputera dan perlindungan insurans RM1 juta.
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menafikan pelantikan sebuah firma guaman yang bertindak sebagai ejen mengutip tunggakan levi kepada Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF).

Terdahulu, satu catatan di Twitter menamakan firma guaman Vemal Arasan & Associates yang didakwa milik seorang peguam yang pernah menjadi anak didik Kula.

Catatan oleh pengguna Twitter lovelydarshan mendakwa firma guaman itu tidak memenuhi syarat perlu mempunyai seorang rakan kongsi Bumiputera dan perlindungan insurans RM1 juta.

Tetapi, Kula yang juga seorang peguam sebelum dilantik menganggotai Kabinet berkata, beliau tidak bertanggungjawab terhadap pelantikan ejen di HRDF, sebuah tabung untuk mempromosi latihan dan pembangunan pekerja.

“Saya tidak terbabit dengan operasi harian. Saya juga tidak terbabit dalam pengambilan pekerja atau menandatangani cek,” katanya kepada FMT.

Kula berkata, HRDF perlu menyiasat dakwaan itu kerana sebagai menteri, tugasnya ialah memastikan tabung itu dikendalikan secara cekap.

“Ia perlu tertakluk kepada matlamat teras, untuk melatih dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.”

Ketua Pegawai Eksekutif HRDF, Elanjelian Venugopal ketika dihubungi berkata, firma guaman itu antara 20 panelnya.

“Mereka (peguam) diupah berdasarkan bidang (kepakaran) mereka. Mereka perlu berdaftar dengan kami dan permohonan mereka disaring sebuah pasukan undang-undang dalaman.”

Katanya, HRDF biasanya menggunakan pasukan penguatkuasaan sendiri untuk tujuan kutipan levi.

Jumaat lalu, HRDF berkata, ia mengambil tindakan terhadap lebih 7,000 majikan yang gagal berdaftar dengan tabung itu mengikut Akta Pembangunan Sumber Manusia Bhd 2001.

Mereka berdepan denda sehingga RM10,000 atau akan dipenjarakan, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.