
Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba Subang Jaya disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada kira-kira 9.41 malam, Isnin lepas selepas mendapat kecederaan kritikal disyaki akibat dipukul dalam insiden rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 Nov.
Jenazah Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah, Kedah kira-kira 1.45 tengah hari, Selasa.
Komandan Akademi Bomba Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu, Md Ali Ismail berkata, nama Adib diletakkan di tugu berkenaan dalam satu majlis Apresiasi Wira Merah sebagai memperingati segala jasa dan pengorbanan Allahyarham kepada negara.
Beliau berkata, Adib merupakan simbol pengorbanan dan perjuangan setiap anggota bomba.
“Adib bagaikan wira kepada kami yang berjuang hingga ke akhir nyawa. Oleh itu, namanya sentiasa terpahat di hati semua rakyat Malaysia, terutama kami yang menyarung uniform yang sama dengan beliau.
Tugu peringatan ini juga merupakan tanda ingatan bomba serta akademi bomba bahawa jasa mereka yang terkorban sentiasa dikenang selamanya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Md Ali berkata, tugu peringatan itu adalah cetusan idea Ketua Pengarah JBPM Datuk Muhamad Hamdan Wahid dan ia dibina oleh pelatih Kursus Diploma Sains dan Kebombaan (KDSK) Siri 1 yang dirasmikan Muhammad Hamdan ketika menyempurnakan majlis penutup kursus berkenaan pada September lepas.
“Terdapat 23 anggota bomba terkorban ketika bertugas di seluruh negara yang direkodkan sejak 1993 dan nama mereka diabadikan di tugu peringatan ini.
“Allahyarham Adib adalah yang ke-24 selepas 6 anggota terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di sebuah lombong di Puchong pada 3 Okt lalu,” katanya.
Md Ali berkata, tugu peringatan ini juga dibuka untuk kunjungan orang ramai sebagai tanda ingatan dan menghargai pengorbanan anggota bomba terbabit.