
Dalam klip itu, kelihatan seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun dan tunangnya yang berusia 14 tahun menari dan meraikan majlis istimewa itu dengan kawan dan keluarga mereka.
Dalam satu kenyataan kepada rancangan TV Mesir, ibu kanak-kanak terbabit dilaporkan mengesahkan perkara tersebut dan mempertahankan ikatan pertunangan itu.
“Apa yang anda lihat dalam video itu adalah benar. Itu adalah majlis pertunangan anak saya anak gadis saudara kami. Ini adalah mengikut tradisi lama kami. Sejak mereka kecil, kami selalu berkata Fares adalah milik Nada dan sebaliknya. Apa yang kami buat adalah mengadakan majlis pertunangan secara rasmi. Itu sahaja,” katanya merujuk nama pasangan itu.
Ditanya sama ada anaknya terlalu muda untuk bertunang, dia berkata: “Kepada anda semua, dia mungkin kelihatan masih bawah umur, tetapi kepada kami dia sudah dewasa dalam kebijaksanaan. Dia bertanggungjawab dengan persekolahannya dan bekerja dengan bapanya selepas sekolah. Dia benar-benar menyintai Nada dan kedua-dua mereka saling mencintai. Kami tidak fikir ia salah, ia adalah pertunangan, mereka belum berkahwin lagi.”
Wanita itu menambah, pasangan itu akan berkahwin dalam tempoh 4 tahun lagi.
Seorang pengguna Twitter menyelar tindakan tersebut menyatakan: “Saya benar-benar jijik dengan video pertunangan ini. Adakah mereka gila atau apa! Ini jelas adalah satu kes penderaan kanak-kanak”.
Kemarahan awam di media sosial itu mendorong kerajaan Mesir menyiasat kes tersebut.
Pendakwaan awam kemudian memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap kedua-dua ibu bapa kanak-kanak terbabit dengan memanggil mereka untuk disoal siasat kerana dikatakan melanggar undang-undang perlindungan kanak-kanak.
Kes itu kemudiannya dirujuk kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab yang kemudiannya menasihati ibu bapa terbabit tidak mendedahkan anak-anak mereka kepada perkara luar jangkauan pemahaman mereka.